WASHINGTON – Para penganalisis memberi amaran harga iPhone dijangka meningkat sehingga tiga kali ganda susulan pengumuman tarif baharu oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, satu tindakan yang mencetuskan kemarahan dalam kalangan peminat Apple.
Menurut pakar, jika Apple terpaksa memindahkan pengeluaran iPhone dari China ke AS, harga bagi model iPhone 16 Pro dengan storan 256GB boleh melonjak daripada AS$1,100 (RM4,933) kepada AS$3,500 (RM15,702).
Ketika ini, sebahagian besar iPhone masih dikeluarkan di China, yang kini berdepan kadar tarif sebanyak 54 peratus terhadap eksport ke AS sekaligus meletakkan Apple dalam dilema sama ada menyerap kos tambahan itu atau memindahkannya kepada pengguna.
Meskipun pengeluaran kekal di China, model iPhone 16 paling murah yang dilancarkan pada harga AS$799 (RM3,583) turut diramalkan boleh meningkat sehingga AS$1,142 (RM5,122), menurut penganalisis.
Anggaran lain turut menunjukkan model iPhone 16 Pro Max dengan storan 1 terabait yang kini dijual pada harga AS$1,599 (RM7,171) boleh meningkat kepada hampir AS$2,300 (RM10,316) jika kenaikan harga itu dipindahkan kepada pengguna.
Kos pengeluaran setiap iPhone dijangka meningkat daripada AS$580 (RM2,601) kepada AS$850 (RM3,812), manakala kos pemasangan di AS pula boleh mencecah 10 kali ganda berbanding di China, lapor Utusan.
Langkah Apple memindahkan sebahagian pengeluarannya ke India dan Vietnam juga tidak banyak membantu kerana kedua-dua negara itu turut dikenakan tarif baharu masing-masing 26 peratus dan 46 peratus.
Pakar ekonomi turut menjangkakan pengguna akan mempercepatkan pembelian sebelum harga baharu diumumkan, namun dalam jangka panjang, kenaikan ini dijangka menjejaskan permintaan dan kedudukan pasaran Apple.