Kepada bekas ahli Umno yang mahu kembali kena mohon kepada SU Agong, MKT akan putuskan – Tok Mat

KUALA LUMPUR – Semua bekas ahli yang berhasrat kembali menyertai Umno perlu mengemukakan permohonan rasmi kepada Setiausaha Agung, sebelum sebarang keputusan dibuat oleh kepemimpinan tertinggi.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setiap permohonan akan diproses oleh ibu pejabat sebelum dirujuk kepada peringkat bahagian dan negeri bagi mendapatkan pandangan.

Katanya, sekiranya tiada bantahan, permohonan akan dibawa ke peringkat jawatankuasa pengurusan sebelum diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Kuasa untuk menerima semula atau menjadikan seseorang itu ahli parti semula adalah kuasa (MKT).

“Jadi proses itu perlu dibuat dengan betul supaya tidak timbul perasaan tidak puas hati dalam kalangan mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan di Dewan Orang Ramai Taman Kelab Tuanku, Mambau lapor Utusan di Seremban pada Isnin.

Mohamad berkata, Umno akan menerima semula bekas ahli yang pernah digantung atau dipecat, selagi mereka melalui proses permohonan ditetapkan.

“Ramai yang telah dipecat dan ramai juga yang digantung keahlian, tetapi kita boleh pulihkan atau ‘putihkan’ semula keahlian mereka,” katanya.

Mengulas keengganan sesetengah bekas pemimpin untuk kembali dengan alasan Umno bekerjasama dengan DAP, Mohamad berkata, tiada paksaan buat sesiapa yang ingin kembali.

“Kita tidak memaksa sesiapa. Kalau dia mahu kembali kepada parti yang dahulu sebagai ahli Umno, terpulang kepada dia. Kalau dia kata dia tidak suka Umno pun terpulang.

“Umno bukan parti yang bergantung kepada seorang dua individu kerana kekuatannya terletak pada ahli di akar umbi dan perjuangan secara berkumpulan,” katanya.

Mohamad berkata, kemasukan semula bekas ahli juga tidak boleh disertakan dengan sebarang syarat.

“Kita tidak menerima sebarang syarat untuk mereka kembali menjadi ahli parti. Kalau mahu bersama, biarlah atas kerelaan sendiri untuk berjuang melalui platform Umno,” ujarnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat