KUALA LUMPUR – Pejabat Perdana Menteri (PMO) sedang giat memantau serta meneliti perkembangan perang Asia Barat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri memantau secara serius operasi evakuasi rakyat Malaysia dari zon konflik di Asia Barat setelah
pengesahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dibuat pada hari ini.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah, mengambil keberkatan bulan Ramadan, Perdana Menteri mendoakan
agar keseluruhan operasi evakuasi ini dipermudah, berjalan lancar, dan kesemua rakyat Malaysia yang terjejas dapat dibawa pulang ke tanah air dengan selamat.
“Perdana Menteri sekali lagi menekankan bahawa nyawa rakyat Malaysia diutamakan dalam apa jua keadaan, terutamanya situasi kritikal yang tidak menentu,” katanya dalam taklimat harian PMO pada Isnin.
Sebelum itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan, Kerajaan Malaysia kini berada pada fasa akhir persiapan bagi melaksanakan operasi evakuasi rakyat Malaysia dari beberapa negara yang terjejas akibat konflik di Asia Barat, susulan perkembangan keselamatan yang kian meruncing di rantau tersebut.
MKN memberitahu, operasi evakuasi ini dilaksanakan atas arahan Perdana Menteri agar semua langkah yang perlu digerakkan dengan segera.
Katanya, ia bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di kawasan terlibat sentiasa terpelihara.
“MKN akan menyelaras operasi ini dengan kerjasama rapat Kementerian Luar Negeri melalui Pejabat Perwakilan Malaysia di negara-negara berkaitan.
“MKN bersama juga akan menyalurkan perkembangan operasi ini secara berkala kepada semua pihak sehingga keseluruhan proses membawa pulang rakyat Malaysia ini selesai ,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerajaan Malaysia akan melakukan segala yang termampu bagi memastikan rakyat Malaysia yang terlibat dapat kembali ke tanah air dengan selamat.



