AMG UNDRGRND X Rock Car Park santuni Anak Yatim dalam majlis Iftar penuh makna

Dalam semangat Ramadan yang menekankan nilai keprihatinan dan perkongsian rezeki, komuniti automotif AMG UNDRGRND bersama penganjur acara muzik Rock Car Park menganjurkan majlis iftar bersama anak-anak yatim dalam satu program kebajikan yang berlangsung di Tasik Puteri Golf & Country Club di sini, malam ini.

Program yang diadakan dalam suasana santai namun penuh bermakna itu melibatkan kira-kira 30 penghuni dari Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, Kanchong Darat, Banting yang dijemput khas bagi memeriahkan majlis berbuka puasa tersebut.

Seawal ketibaan mereka di lokasi majlis, anak-anak yatim yang hadir disambut mesra oleh ahli komuniti AMG UNDRGRND serta wakil penganjur Rock Car Park. Suasana kekeluargaan jelas terasa apabila para tetamu tidak melepaskan peluang beramah mesra, bersembang dan meluangkan masa bersama anak-anak yang hadir.

Majlis dimulakan dengan ucapan daripada pengerusi kelab AMG UNDRGRND sebelum diteruskan dengan ucapan wakil penganjur Rock Car Park yang berkongsi mengenai kerjasama antara kedua-dua pihak dalam menjayakan program tersebut.

Penganjuran majlis iftar berkenaan bukan sahaja bertujuan meraikan anak-anak yatim sempena Ramadan, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara komuniti automotif, penganjur acara serta masyarakat.

Menjelang waktu berbuka puasa, suasana di lokasi majlis semakin meriah apabila anak-anak yatim yang hadir kelihatan ceria bergaul dengan ahli kelab serta tetamu yang hadir.

Apabila azan Maghrib berkumandang, semua tetamu menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan dalam suasana penuh kebersamaan. Selepas berbuka dan menunaikan solat Maghrib, majlis diteruskan dengan sesi santai sebelum acara penyampaian sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh wakil penganjur dan ahli kelab sebagai tanda ingatan serta usaha berkongsi kegembiraan Ramadan bersama mereka.

Sementara itu, majlis berkenaan turut dimanfaatkan oleh pihak Rock Car Park untuk berkongsi perkembangan mengenai konsert Rock Car Park yang dijadualkan berlangsung di Rooftop Kompleks Campbell, Kuala Lumpur pada 9 Mei depan.

Menurut penganjur, sambutan terhadap jualan tiket presale setakat ini amat menggalakkan apabila hampir 1,000 tiket telah terjual.

Konsert tersebut menyasarkan kehadiran kira-kira 5,000 peminat muzik rock dan bakal menampilkan beberapa kumpulan rock tempatan seperti kumpulan legenda Bloodshed, May, Wicitra dan Syasha And The Boy.

Bagi mempromosikan konsert tersebut, pihak penganjur juga merancang untuk mengadakan siri showcase tour di beberapa lokasi termasuk Nilai, Ipoh dan sekitar Dataran Merdeka yang memberi peluang kepada peminat mendapatkan tiket fizikal pada harga promosi.

Dalam pada itu, pihak Rock Car Park turut membuat pengumuman khas pada majlis iftar tersebut apabila menawarkan harga tiket istimewa sebanyak RM100 kepada 30 ahli AMG UNDRGRND terawal yang hadir pada program berkenaan.

Tawaran khas tersebut diberikan sebagai tanda penghargaan kepada ahli komuniti yang hadir menyokong majlis kebajikan yang dianjurkan. Harga promosi itu juga lebih rendah berbanding harga tiket biasa konsert, sekali gus memberi peluang kepada mereka yang hadir untuk mendapatkan tiket lebih awal pada kadar istimewa.

Pengumuman tersebut menerima sambutan positif daripada ahli kelab yang hadir, dengan sebahagian daripada mereka terus mengambil peluang mendapatkan tiket pada harga promosi tersebut.

Inisiatif tersebut bukan sahaja menambahkan lagi kemeriahan majlis, malah memperlihatkan kerjasama erat antara komuniti automotif dan penganjur acara hiburan dalam menjayakan program kebajikan serta aktiviti komuniti sepanjang bulan Ramadan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat