KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil mengingatkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa karma dan kifarah itu adalah benar.
Isham membidas Azmin supaya akur kepada proses undang-undang dan tidak menyalahkan mana-mana pihak atas siasatan yang sedang dihadapi Bersatu.
“Tadi Azmin kata pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk saya (Isham Jalil) yang kononnya jadi dalang penangkapan pemimpin-pemimpin Bersatu atas kes rasuah. Ini kata Azmin sebab saya telah bagi ”warning” yang mereka (pemimpin-pemimpin Bersatu) akan jadi Kluster Mahkamah.
“Azmin, saya sudah cakap yang kamu dan kawan-kawan kamu akan jadi Kluster Mahkamah 2.0 sejak sebelum PRU-15 lagi, cuba lihat video-video ucapan saya tahun lepas. Masa itu puak-puak kamu tidak perasan sebab mungkin puak-puak kamu sedang sibuk sakau duit rakyat berbillion.
“Kini kamu kena jawab di muka pengadilan dan tidak boleh lari lagi. Jangan salahkan sesiapa apabila kamu ditangkap makan rasuah. Karma dan kifarah itu benar,” balas Isham.
Sebelum ini, Azmin mendakwa kepemimpinan tertinggi kerajaan Pakatan Harapan (PH)-BN menggunakan institusi kerajaan untuk melakukan pendakwaan terpilih kerana hanya pemimpin Bersatu jadi sasaran siasatan dan pendakwaan berhubung projek Jana Wibawa.