20,000 Umat Islam Dijangka Hadir Program Selawat dan Munajat Perdana

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Program Selawat dan Munajat Perdana untuk Malaysia bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu ini dijangka menghimpunkan sehingga 20,000 umat Islam.

Pengarah Program Azizi Ab Hamid berkata acara itu akan dimulakan dengan solat maghrib berjemaah dipimpin Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, disusuli program selawat dan qasidah oleh Syabab EI-Mustofawiyah yang menjadi johan festival qasidah tahun lepas.

“Antara tokoh yang akan hadir bersama-sama memberikan ceramah dan juga tausiyah pada malam itu ialah Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar, seorang ulama terkenal di negara kita,” katanya kepada Bernama hari ini.

Selain itu, beliau berkata program berkenaan akan menampilkan tokoh agama antaranya johan qari antarabangsa Amirahman Abbas dan Sheikh Razak al-Masri yang akan bersama-sama mengalunkan selawat.

Azizi berkata program ini merupakan kesinambungan majlis ilmu di rumah rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana sebelum ini.

“Daripada situ saya dapat idea untuk membawa majlis ilmu ini di luar agar Perdana Menteri dapat bersama dengan warga Kuala Lumpur dan sekitar,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri Azman Abidin berkata penaja utama program itu ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan beberapa agensi lain seperti Amanah Ikhtiar Malaysia.

“Setakat ini selain Perdana Menteri, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri dan beberapa menteri juga turut akan hadir pada program berkenaan serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Datuk Bandar KL Datuk Seri Mahadi Che Ngah,” katanya.

Beliau berkata jemputan turut akan dipanjangkan kepada kedutaan Arab Saudi dan Palestin di Malaysia.

Azman berkata program bermula 6.30 petang itu bertujuan mendekatkan rakyat bersama dengan Perdana Menteri, di samping memuliakan Rasulullah SAW dan mendekatkan diri dengan Allah SWT. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat