Annuar tak perlu ‘play victim’ – Khaled Nordin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tegas menyatakan tidak wujud sebarang ura-ura untuk parti memecat Tan Sri Annuar Musa seperti didakwanya.

“Jadi, mengapa mahu sengaja dibangkitkan tanggapan serta sentimen ‘victim’ seperti ini. Ia hanya akan membuka ruang salah faham yang tidak baik, sama ada dari luar mahu pun dalam parti,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Reaksi Khaled itu merujuk kepada penyataan tekad Anuar yang menyatakan beliau tidak akan mengalah dengan pendiriannya bahawa UMNO perlu bekerjasama dengan semua parti Melayu, sekali pun beliau dipecat dari UMNO.

Alasan Annuar itu kerana beliau percaya bahawa hanya dengan bekerjasama dengan semua parti Melayu maka UMNO akan menjadi kuat.

“ Pertama, tidak wujud sebarang khabar atau ura-ura yang menjurus ke arah niat untuk memecat beliau. Jadi, mengapa mahu sengaja dibangkitkan tanggapan serta sentimen ‘victim’ seperti ini. Ia hanya akan membuka ruang salah faham yang tidak baik, sama ada dari luar mahu pun dalam parti.

“ Kedua, adalah tidak sihat untuk beliau terus-menerus mengkritik parti secara terbuka seperti sekarang. Ia tidak menguntungkan UMNO. Ia melemahkan setiakawan dan secara sistematik, mengelirukan parti,” ujar Khaled.
Dalam pada itu katanya, sebagai seorang ahli lama, Annuar mempunyai akses kepada semua kepimpinan parti untuk menyatakan pendirian pandangan kritikal beliau. Lebih penting, tindakan mengkritik secara terbuka ini akan hanya memberi kesan kepada moral dan sokongan ahli parti dan masyarakat luar yang sedang memerhati UMNO secara rapat.

“ Ketiga, UMNO sudah memutuskan untuk kembali dan menguatkan BN. Pada masa yang sama, kekuatan politik orang Melayu turut diusahakan bersama-sama PAS dalam Muafakat Nasional. Dan segala kerjasama membentuk Kerajaan hanya akan dipertimbangkan setelah pilihan raya dan dibuat bersadarkan mandat dan pilihan rakyat.

“ Ini keputusan parti dan keputusan bersama. Jadi, UMNO akan bekerja keras untuk menjayakannya. Berjaya atau tidak UMNO dalam ikhtiar ini sangat terletak kepada pilihan rakyat. Semua itu terpulang kepada keyakinan rakyat.


“ Keputusan UMNO untuk tidak bersama PN atau Pakatan Harapan (PH) adalah kerana kedua-duanya tidak pun diyakini oleh rakyat. Sebahagian daripada mereka juga sudah ditolak terang-terangan. Ada yang sampai diheret ke Mahkamah oleh pengundi di kawasan mereka untuk dilucutkan dari jawatan,” katanya.

Khaled menambah, kemerosotan populariti PN dan keraguan terhadap kemampuannya mentadbir negara menjadikan kerjasama UMNO dan PN tidak strategik. Apatah lagi tiadanya usaha radikal untuk menarik sokongan bukan Melayu. Jadi, apa motivasi dan alasan kukuh untuk terus mendesak UMNO dengan sebegitu rupa.

“ Keempat, sekali pun UMNO sendiri sedang mengusahakan penyatuan politik Melayu, hakikatnya UMNO sangat sedar bahawa sokongan bukan Melayu turut penting. Tidak ada pihak yang dapat menafikan perkara ini.

“ Atas dasar ini, UMNO yakin BN adalah satu wadah dan platform yang lebih sesuai, inklusif dan bersifat jalan tengah untuk semua. Bukannya PH atau PN.

“ Kelima, seandainya UMNO ini sudah tidak elok dan gagal memahami aspirasi dan perjuangan peribadi Anuar, janganlah bermain tarik tali dan bertangguh-tangguh dengan UMNO ini. Ia hanya mengelirukan orang ramai. Tambahan pula parti ini sedang diperkasakan. Ini usaha yang kritikal dan besar. Jadi, UMNO memerlukan semua pihak untuk bersama-sama dalam perjuangannya serta membantu mengukuhkannya. Bukannya membiarkan UMNO diserang-serang, diperkotak-katikkan malah terus-menerus mempertahankan pula lawan dan mereka yang merendah-rendahkan UMNO,” tegasnya.

Tambah Khaled, parti ini lebih besar dari perjuangan dan kepercayaan seorang individu.

“UMNO adalah milik rakyat. Biarlah rakyat yang menentukan masa depan UMNO,” tegasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat