Peruntukan RM3 juta dah lama lulus, PM minta laporan penuh isu bekalan air UMS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri menuntut satu laporan penuh berhubung peruntukan dan pelaksanaan bagi menyelesaikan isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) seperti dibangkitkan tahun lalu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau pernah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada UMS bagi tujuan berkenaan pada Mei tahun lalu.

“Saya tidak ingat bila saya pergi ke UMS tapi saya dengar keresahan mereka (pelajar). Saya minta kepastian daripada Naib Canselor dan saya luluskan. Jadi saya tidak mengerti (kenapa isu belum selesai) tapi mungkin projek itu mengambil masa.

“Jadi saya nak minta laporan penuh dan apa jadi sejak Menteri Kewangan luluskan peruntukan segera RM3 juta bagi menyelesaikan masalah air di universiti berkenaan,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan, di Putrajaya pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada peruntukan RM2 juta yang diumumkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika melawat universiti itu semalam.

Sebelum ini, Zambry memaklumkan, peruntukan berkenaan adalah untuk penyelesaian jangka pendek dan panjang agar masalah bekalan air di universiti itu boleh diatasi segera.

Ketika lawatan itu, Zambry disambut oleh pelajar universiti itu dengan lagu dengan lirik antara lain berbunyi ‘kami belum mandi’ selain turut memegang pelbagai plakad, termasuk yang bertulis “Air Ma(na)dani?”.

Pada masa sama, Anwar turut mengarahkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhubung peruntukan RM3 juta itu.

“Mungkin KSP boleh tanya KSU kementerian berkenaan dan mungkin Pantau Madani boleh bantu untuk bertanyakan apa yang berlaku sejak kelulusan RM3 juta serta tindakan yang diambil oleh KPT dan universiti untuk melaksanakan.

“Pada sebahagian orang perkara kecil tapi kalau mahasiswa menghadapi masalah bekalan air itu patut meresahkan kita,” katanya lapor Utusan.

Media melaporkan, peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta oleh KPT itu akan digunakan untuk memasang pam air dan melibatkan pakar mencari sumber air alternatif bagi penyelesaian jangka panjang.

Dalam perkembangan lain, Anwar turut mengarahkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Johan supaya memantau pelaksanaan projek penyelenggaraan jalan Persekutuan yang berlubang di seluruh negara.

“Di dalam Belanjawan 2024 kerajaan meluluskan. Tidak perlu tunggu Mac atau April. Sepatutnya dari sekarang ambil tindakan untuk menentukan pelaksanaan itu.

“Sewaktu saya jadi Menteri Kewangan dahulu, Jalan Persekutuan itu baik, jalan negeri berlubang. Sekarang jalan negeri jauh lebih baik dari jalan Persekutuan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat