KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) didakwa cuba untuk merasuah Yang di-Pertuan Agong sebanyak RM1 bilion dalam usaha mereka untuk merampas kerajaan ketika ini.
Dakwaan itu dicatat dalam blog Media Rakyat Network, pada Isnin.
Menurut blog hantu berkenaan, itu adalah langkah terakhir mereka sebelum Agong baharu dilantik secara rasmi pada akhir Januari ini.
Catatan itu mendakwa kononnya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dikatakan mengetuai cubaan memberi rasuah kepada Agong.
Beberapa politikus PN seperti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini mendakwa PN sudah mempunyai jumlah akaun bersumpah (SD) yang mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
“Bagaimana mereka begitu yakin sudah mempunyai jumlah SD yang cukup? Difahamkan PN berbincang dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin di Dubai untuk menumbangkan kerajaan.
“Mahathir dan Daim sanggup mengeluarkan dana sebanyak RM750 juta untuk memberi rasuah kepada ahli-ahli politik bagi menarik sokongan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mahathir dan Daim turut difahamkan akan menaikkan jumlah dana itu jika perlu. Maka tidak hairan mengapa RM1 bilion boleh dikeluarkan untuk merasuah Agong,” dakwa blog hantu berkenaan lagi.
Namun katanya, pelan itu dikatakan terbantut disebabkan Daim ditahan oleh SPRM dan bangunannya disita.
Maka, PN mengambil haluan lain dengan cuba ‘memujuk’ Agong dan menjadi kerajaan pintu belakang sekali lagi.
“Tidak malukah mereka menggunakan taktik kotor sebegini? Berapa kali mahu bertukar kerajaan?
“Kasihanlah pada rakyat yang terkesan dengan perubahan kerajaan beberapa kali sejak 3-4 tahun ini.
“Pembangkang sudah kesuntukan masa kerana mereka tahu Agong baharu tidak akan membenarkan situasi sebegini berlaku,” dakwa blog itu.
Maka katanya, inilah satu-satunya cara mereka untuk mengambil alih kerajaan buat kali terakhir secara pintu belakang.
“Paling tidak masuk akal, mereka mahu melantik semula Mahathir sebagai Perdana Menteri buat kali ketiga.
“Politikus sudah hampir 100 tahun masih mahu diberi kepercayaan mentadbir negara? Cukup-cukuplah dengan apa yang pernah berlaku pada 2018-2020. Rakyat menderita di bawah Mahathir.
“Janganlah buat perkara yang boleh merosakkan rakyat dan negara. Hentikanlah permainan politik bodoh ini.
“PN juga kian bimbang kerana banyak ahli-ahlinya semakin ramai menyatakan sokongan kepada kerajaan.
“Padan muka PN. Dahulu mereka menentang draf asal pindaan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 (Akta A 1663) berkait isu lompat parti.
“Sekarang mereka pula bimbang ahli-ahli mereka beralih sokongan. Nak ambil tindakan pun sukar.Akhirnya, mereka menjalankan rancangan kotor. Dahulu Langkah Sheraton, kali ini Langkah Dubai pula,” dakwanya lagi.
Ulas blog itu lagi, “tunggulah Pilihan Raya Umum akan datang. Tak lama pun, lagi beberapa tahun sahaja lagi.
“Bagilah rakyat bernafas semula. Rakyat sendiri penat asyik keluar mengundi. Tukar kerajaan, tukar dasar. Sampai bila?
“Kepada PN, sudah-sudahlah bermain politik untuk kepentingan peribadi. Ini bukan masa sesuai. Rakyat bergelut dalam keadaan ekonomi mencabar ketika ini.Politikus PN tidak akan faham.
“Bergabunglah dengan kerajaan untuk mencari solusi terbaik buat rakyat. Sejahterakan dahulu rakyat dan negara. Apabila tibanya PRU, biarlah rakyat membuat keputusan, catat blog itu.
Dalam perkembangan lain, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, hari ini membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat gerakan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Shamsul Iskandar berkata, laporan itu dibuat bagi menamatkan spekulasi yang boleh mencetuskan keresahan rakyat serta memberi kesan kepada keyakinan pelabur.
Jelasnya pendedahan terbaru yang dibuat oleh Raja Petra Kamaruddin jelas membuktikan wujud gerakan bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan kerajaan meskipun mereka sedar ia tindakan sia-sia.
Tambah Shamsul Iskandar dia yakin cubaan ‘Langkah Dubai’ itu didalangi beberapa ahli parlimen yang tidak bertanggungjawab dan sebenarnya memudaratkan demokrasi.
“Gerakan Langkah Dubai ini jelas satu tindakan yang buka sahaja menganggu gugat sistem demokrasi berparlimen, malah sia-sia kerana akta antilompat parti yang telah diluluskan, (sekali gus) menghalang sebarang usaha menukar perdana menteri dan kerajaan di pertengahan pentadbiran.
“Saya yakin gerakan ini telah dimulakan oleh beberapa ahli parlimen termasuk pemimpin pembangkang yang tidak bertanggungjawab.
“Tindakan mereka pada hakikatnya memudaratkan demokrasi berparlimen, menimbulkan keresahan dan mencetuskan ketenteraman awam.
“Cubaan untuk mewujudkan ketidakstabilan politik yang boleh mengancam keselamatan negara ini mesti digagalkan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di Putrajaya, hari ini, petik Malaysiakini.
Terdahulu Perdana Menteri berkata dia enggan melayan dakwaan Sanusi kononnya PN berjaya mengumpul sekitar 120 akuan bersumpah untuk menjatuhkan kerajaan.
“Tak apa. Tak perlu komen. (Biar)..saya kerja,” kata Anwar kepada pemberita pagi tadi.
Ditanya sama ada kerajaan Madani goyah dengan gerakan sebegitu, Shamsul Iskandar berkata, perbuatan itu adalah sia-sia kerana negara telah mempunyai akta antilompat parti.
“Saya serahkan kepada mereka yang membina perspektif itu, tetapi bagi kerajaan, tentunya kita ingin menamatkan perkara ini sebab kalau tidak, akan dianggap kerajaan tidak dibuat apa-apa.
“Saya ingin menyatakan kepada mereka tidak bertanggungjawab di luar sana, Malaysia ini ada undang-undang, ada peraturan dan Perlembagaan Persekutuan.
“Kita melalui episod ini pelbagai. Kita telah berikan penamatnya dengan undang-undang akta antilompat parti,” katanya lagi.
Tambah Shamsul Iskandar, laporan polis juga dibuat apabila melihat spekulasi tersebut menguasai media sosial dan pemikiran rakyat.
Katanya, hari ini sebanyak 12 laporan polis telah dibuat diseluruh negara bagi memastikan pihak polis menyiasat perkara tersebut.