Menilai Antara Kaca & Permata

OLEH YB Puan Hajah Zuraida Kamaruddin

Selama lebih 20 tahun dalam memperjuangkan agenda pemberdayaan wanita, antara cabaran terbesar yang telah saya hadapi adalah kesukaran untuk menanam semangat kepemimpinan dikalangan golongan wanita di negara ini. Isu utama dalam usaha untuk mengangkat martabat wanita ini adalah untuk mengubah mentaliti golongan wanita bagi menerima perubahan agar mereka yakin untuk kehadapan dan menjadi pemimpin di dalam pelbagai bidang yang mereka ceburi.

Jika kita membuka lipatan sejarah, di Dewan Rakyat, jumlah representasi wanita adalah lebih baik berbanding dengan zaman dahulu. Ketika pertama kali parlimen bersidang pada tahun 1959, hanya tiga (3) orang wanita sahaja yang telah diangkat menjadi ahli parlimen untuk mewakili kawasan-kawasan mereka. Ketiga-tiga pemimpin awal wanita di Malaysia ini adalah Tan Sri Fatimah Hashim (Jitra-Padang Terap), Khadijah Sidek (Dungun) dan Zainon Munshi Sulaiman (Pontian Selatan). Sejak dari itu, jumlah ahli parlimen wanita telah bertambah dan selepas PRU-14 (2018), kita mempunyai 33 orang ahli parlimen wanita, 14% daripada keseluruhan perwakilan di Dewan Rakyat.

Sungguhpun terdapat perkembangan positif bagi representasi wanita di Dewan Rakyat, perjuangan kita masih lagi belum selesai. Pada tahun 2020 dilaporkan jumlah populasi wanita di Malaysia telah mencapai 48.6% daripada keseluruhan jumlah populasi rakyat Malaysia dan ini bermakna, kita memerlukan lebih ramai wanita untuk menjadi pemimpin, bagi memastikan suara dan aspirasi mereka didengari di peringkat nasional.

Representasi di dalam bidang politik bukanlah suatu perkara yang boleh diambil ringan, disebabkan semua polisi dan undang-undang di negara ini ditentukan di parlimen, penglibatan lebih ramai wanita diperlukan untuk memastikan isu-isu seperti diskriminasi jantina, kes jenayah terhadap wanita, implementasi polisi mesra wanita dan isu-isu lain dapat diberikan perhatian yang mendalam oleh pihak kerajaan (dan pembangkang) di negara ini.

Dalam usaha untuk mencari solusi terhadap permasalahan wanita pada ketika ini, representasi yang berpadanan adalah satu perkara yang mesti diakui dan difahami oleh semua rakyat Malaysia. Kita memerlukan satu revolusi untuk membebaskan bukan sahaja minda para wanita, tetapi juga semangat mereka, agar mereka berkeupayaan untuk bergerak kehadapan dan memimpin negara ini ke tahap yang lebih tinggi.

Perkara ini bukanlah suatu hal yang mudah kerana proses untuk mendidik dan melatih kepimpinan masa hadapan wanita di Malaysia memerlukan usaha dan komitmen yang amat tinggi. Secara peribadi, dari pengalaman saya sendiri, selepas menubuhkan institusi-institusi seperti Srikandi Keadilan dan Girl2Leader Malaysia (sebuah organisasi antarabangsa di bawah kendalian Women Political Leaders [WPL]), saya mendapati untuk membentuk kebolehan kepimpinan dikalangan wanita muda adalah satu tugas yang amat mencabar.

Di zaman Instagram dan Tik Tok menjadi tumpuan dan fokus masyarakat umum, kebanyakkan daripada anak-anak muda kita tidak begitu peduli bahawa masa hadapan negara ini terletak di tangan mereka. Isu-isu penting yang sedang berlaku di negara ini tidak dipedulikan kerana mereka lebih berminat untuk mendapatkan gratifikasi segera dalam bentuk “like”, “subscribe” dan “share” berbanding terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan.

Sungguhpun begitu, usaha berterusan dalam mencari bakat kepimpinan ini perlu diteruskan dan para pemimpin wanita sedia ada seperti saya perlu berupaya untuk membezakan antara kaca dan permata. Pemimpin-pemimpin wanita muda ini perlu digilap dan diasah kebolehan mereka kerana di masa akan datang nanti, kemungkinan mereka yang kita didik ini akan menjadi pemimpin pada masa akan datang dan membawa negara ini ke mercu kejayaan.

Saya percaya, pemimpin wanita seperti saya, perlu bertindak sebagai mentor bagi memastikan adanya golongan pemimpin wanita pelapis untuk menyambung usaha-usaha yang telah kita lakukan pada ketika ini. Kita perlu mewujudkan satu ekosistem kepimpinan yang bukan sahaja dapat memberikan manfaat kepada golongan wanita, tetapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia.

Bagi golongan pemimpin wanita muda ini, sebelum mereka diberikan tanggungjawab untuk mengetuai mana-mana organisasi politik atau menjadi calon pilihanraya, kita seharusnya memastikan mereka mempunyai keupayaan memimpin yang mencukupi. Kemahiran seperti berfikir secara kritis, kreativiti dan kemahiran lain diperlukan untuk mereka menjadi pemimpin yang efektif. Nilai-nilai seperti merendah diri, belas ihsan dan juga kejujuran juga perlu diterapkan di dalam sanubari mereka.

Adalah menjadi impian saya untuk melihat agar suatu hari nanti golongan wanita menjadi suara penentu di dalam parlimen. Kita seharusnya mempunyai sasaran untuk sekurang-kurangnya 33% kerusi parlimen di penuhi oleh golongan wanita, berbanding dengan jumlah 14.8% yang ada pada ketika ini. Sasaran ini bukanlah satu perkara yang mustahil, namun ia juga bukanlah satu perkara yang mudah. Negara-negara lain di seluruh dunia telahpun membuktikan bahawa perkara ini boleh dicapai. Jika kita lihat negara seperti Rwanda, 2/3 daripada keseluruhan ahli parlimen mereka adalah wanita. Begitu juga dengan negara seperti Sweden dengan 46.1% ahli parlimen mereka adalah wanita dan negara Cuba dengan jumlah 53.2%.

Buat masa sekarang, kita perlu meningkatkan tahap kesedaran masyarakat dan berusaha untuk menyediakan ruang pada pemimpin muda wanita di negara ini untuk berkembang. Kita bukan sahaja perlu mendidik anak-anak muda ini sahaja, tetapi juga keluarga dan komuniti mereka agar satu persekitaran yang kondusif dapat diwujudkan, bagi menyediakan diri mereka untuk memimpin negara di masa hadapan.

Di persada dunia, kita telah melihat kebangkitan pemimpin muda wanita seperti Malala Yousafzai, Greta Thunberg dan lain-lain yang telah melangkah kehadapan untuk memperjuangkan isu-isu yang dekat di hati mereka. Saya berharap di masa hadapan, kita juga akan mempunyai Malala dan Greta sendiri di pentas antarabangsa, sekaligus mengharumkan nama negara di mata dunia.

YB Puan Hajah Zuraida Kamaruddin
Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan Malaysia