KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tidak berkecil hati dengan rungutan rakyat yang mempersoalkan keberkesanan pentadbiran negara mengatasi pelbagai isu berbangkit di lokasi tertentu.
Mengambil contoh Sabah Anwar, rakyat di negeri Bawah Bayu masih tidak mampu menikmati kemudahan asas seperti elektrik, air dan jalan berlubang, biarpun pentadbiran kerajaan negeri silih berganti.
“Saya sebagai manusia, saya juga faham orang marah. Dia (rakyat) kata dengar Perdana Menteri, menteri dan kerajaan silih berganti, tetapi air belum berganti. Elektrik belum pasang. Jalan berlubang-lubang.
“Dia resah dan belum cukup yakin (terhadap kerajaan). Saya tidak salahkan mereka. Walaupun kita sudah luluskan jumlah kewangan paling besar dalam sejarah (untuk Sabah).
“Keseluruhan perbelanjaan pembangunan dan mengurus Sabah bernilai RM17 bilion. Bagi kemudahan air pula hampir RM1 bilion, manakala elektrik RM1.2 bilion. Namun (projek pembinaan bagi infrastruktur berkenaan) belum siap.
“Selagi (projek) belum siap, dia terasa terpinggir sekian lama dan kita boleh faham. Sebab ini saya tak ambil sikap sesetengah orang politik, sebaliknya cuba memahami derita mereka kerana saya pernah melalui liku kehidupan yang agak sukar,” kata Menteri Kewangan itu.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Kerja Raya (KKR) sempena Himpunan Bulanan kementerian berkenaan, lapor BH pada Isnin.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu memanfaatkan kestabilan politik dinikmati ketika ini untuk merancang dan melaksanakan program demi kesejahteraan rakyat.
Kestabilan politik negara ketika ini membantu kerajaan mencatatkan pertumbuhan ekonomi positif, mengurangkan kadar pengangguran selain berjaya merekodkan kadar pelaburan asing tertinggi dalam sejarah.
“Beberapa tahun lalu, politik negara terumbang-ambing, kini tiga tahun Kerajaan Madani dan politik negara stabil. Alhamdulillah apabila stabil, hasilnya kita hampir berjaya menoktahkan kemiskinan tegar.
“Namun, saya tidak mahu mendabik dada kata usaha saya seorang. Ini usaha Jemaah Menteri dan kita ada tekad bersama kemudian Shamsul Azri untuk menterjemahkannya di peringkat pelaksanaan,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengakui, masih terdapat beberapa kekurangan ketika ini yang harus ditangani bagi memastikan negara mampu mencapai kejayaan yang lebih gemilang.
“Bukan maksudnya (ada kelemahan) itu kita meremehkan sebarang usaha yang sudah dilakukan, tetapi perlu akui ada ruang untuk penambahbaikan,” katanya



