KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengumumkan perlantikan Rusli Jaafar, 59, sebagai Pengerusi Eksekutif yang baharu.
Perlantikan beliau telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selaku Pengerusi Eksekutif, Suruhanjaya Koperasi Malaysia berkuatkuasa mulai 1 Disember 2022.
Perlantikan ini selaras dengan Perkara 11(3)(a) Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007 (Akta 665).
Rusli Jaafar, yang berasal dari Kuala Selangor merupakan lulusan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia, pernah berkhidmat sebagai Pengarah SKM Negeri Selangor pada tahun 2017 hingga 2019 dan memegang jawatan Pengarah di beberapa bahagian di Ibu pejabat.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada YB Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) dan di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini.
Beliau telah berkhidmat selama 30 tahun di Jabatan Pembangunan Koperasi (kini SKM).