KUALA LUMPUR – Datuk Zainol Fadzi Paharudin melepaskan jawatan yang disandangnya sebagai Setiausaha Bersatu Perak.
Menurut surat peletakan jawatan yang dikirimkan kepada Ketua Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Zainol Fadzi memberitahu, keputusannya mengosongkan jawatan Setiausaha Bersatu Perak diambil selepas mempertimbangkan segala aspek dan komitmen peribadi serta profesional yang memerlukan perhatian beliau.
“Saya, Zainol Fadzi, ingin mengemukakan surat peletakan jawatan saya sebagai Setiausaha Bersatu Negeri Perak, berkuatkuasa 5 Nov 2024. Keputusan ini diambil selepas mempertimbangkan segala aspek dan komitmen peribadi serta profesional yang memerlukan perhatian saya.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Faizal dan semua pihak dalam Bersatu Negeri Perak atas peluang dan kepercayaan yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan saya.
“Saya amat berterima kasih atas kerjasama dan sokongan yang saya terima, yang telah membantu saya menjalankan tanggungjawab ini dengan penuh komitmen dan dedikasi.
“Saya berharap agar keputusan ini diterima dengan baik dan difahami. Saya juga ingin menegaskan bahawa saya akan terus memberi sokongan kepada Bersatu Negeri Perak dan akan sentiasa menyokong perjuangan dan hala tuju parti,” ujar beliau dalam surat berkenaan.
Zainol Fadzi bagaimanapun masih memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Bersatu Pasir Salak.