KUALA LUMPUR – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan terdapat beberapa transaksi mencurigakan dalam kes kerugian dialami Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam pelaburan FashionValet Sdn Bhd.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, transaksi itu dikesan sejak 2018 hingga tahun lalu selepas menganalisa 60 kotak dokumen kewangan yang dirampas daripada FashionValet, Khazanah dan PNB.
Menurut Azam, pihaknya akan melihat kepada aliran punca kewangan dan sebab kemasukan dan ke mana wang itu dibelanjakan bagi melihat adakah terdapat unsur jenayah rasuah atau kesalahan lain membabitkan penipuan.
“Namun, kita percaya ada sebahagian pelaburan yang disalah guna dalam hal ini dan ia sedang kenal pasti,” lapor Utusan, semalam.
Dalam perkembangan sama, Azam mengesahkan pasangan itu tidak akan ditahan buat masa ini, malah kedua-dua mereka memberi kerjasama penuh.
Kata Azam, pihaknya juga sedang menyiasat pemilikan barangan mewah yang pernah ditayangkan pasangan tersebut di media sosial.
“Satu laporan khas akan dibuat oleh Bahagian Perakaunan Forensik dan pengesahan sedang dilakukan mengenai pemilikan barangan mewah itu.
“Mereka perlu memberi kerjasama bagi mengenal pasti barang-barang yang ditunjukkan sebelum ini dalam media sosial,” katanya.
Sebelum ini, SPRM bertindak membekukan beberapa akaun bank persendirian pasangan itu serta akuan syarikat bernilai kira-kira RM1.1 juta menerusi Op Favish semalam.
Malah, kediaman pasangan itu turut digeledah dan 11 beg tangan serta seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000 telah disita.
Siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Vivy dan suaminya hadir ke Ibu Pejabat SPRM empat hari berturut-turut sejak Selasa lalu untuk direkod keterangan berhubung kes itu.