Ladang getah tak ditoreh akan diusaha semula – Johari

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama agensinya Lembaga Getah Malaysia (LGM) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan mencari jalan untuk mengusahakan semula ladang getah terbiar dengan persetujuan pekebun dan peladang getah.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, KPK akan mengenal pasti kawasan tanaman getah yang tidak ditoreh bagi memastikan dapat diusahakan semula untuk meningkatkan hasil getah asli negara.

“KPK dan LGM dengan kerjasama Risda akan mencari jalan untuk mengusahakan semula ladang getah terbiar dengan persetujuan pekebun dan peladang getah.

“Jika mereka bersetuju untuk bekerjasama dengan kita, kita akan mengupah pekerja untuk menoreh pokok getah di ladang mereka untuk meningkatkan hasil dan mereka akan menerima sebahagian keuntungan,” katanya ketika majlis pelancaran Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) di Baling, Kedah.

Menurut Johari, Malaysia mempunyai 1.1 juta hektar ladang getah tetapi 420,000 hektar daripadanya berada dalam keadaan terbiar.

Justeru kata beliau, inisiatif ini penting bagi memperkasakan semula industri getah negara kerana ianya dapat mengurangkan import getah yang telah mencecah hampir RM6 bilion.

Pengiktirafan MSNR ini secara tidak langsung dapat menjadikan produk getah mampan keluaran Malaysia akan berpotensi dilihat sebagai produk premium dengan nilai tambah yang tinggi.

MSNR memberi fokus kepada lima prinsip utama kemampanan iaitu, tiada penyahhutanan untuk penanaman getah; penanaman getah berpandukan Kanun Tanah Negara; kemampanan alam sekitar dan hak asasi pekerja serta kebolehkesanan rantaian bekalan.

“Menyedari cabaran Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), pelaksanaan MSNR ini dilihat penting dalam mengekalkan syer pasaran Malaysia sebanyak 10 peratus dengan nilai eksport getah asli ke Kesatuan Eropah sebanyak RM636.81 juta.

“Manakala syer pasaran produk getah Malaysia ke Kesatuan Eropah adalah sebanyak 16 peratus bernilai RM3.235 bilion,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat