Pengilang tukar kampit beras tempatan kepada import punca bekalan kurang – Musonnef

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran didakwa berlaku antaranya kerana tindakan segelintir pengilang yang cuba memanipulasi harga dengan menukar kampit beras tempatan kepada import.

Tindakan itu didakwa dilakukan susulan peningkatan harga semasa beras dunia sekali gus membolehkan golongan tersebut mengaut keuntungan berlipat ganda memandangkan harga beras import tidak dikawal kerajaan sebaliknya hanya diapungkan sahaja.

Lapor Utusan, Setiausaha Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia, Musonnef Md. Radzi berkata, pihaknya percaya tindakan itu ada kaitan dengan isu kekurangan beras SST di pasaran sedangkan 65 peratus beras di negara adalah hasil tempatan manakala yang diimport hanya sekitar 35 peratus.

Katanya, perkara itu berlaku disebabkan lonjakan harga jualan padi basah daripada RM1,200 kepada RM1,700 setiap tan pada peringkat pengilang, manakala kos pemborong meningkat kepada RM3,200 bagi kuantiti sama.

Dimaklumkan, pada bulan Ogos harga satu tan padi yang dibeli oleh pengilang daripada pesawah mencecah RM1,850 tidak termasuk kos pengilangan.

“Apabila ditambah dengan kos pengilangan harga memproses padi basah kepada beras putih adalah sekitar RM2,700 satu tan atau RM2.70 bagi setiap kilogram sedangkan harga SST di pasaran tidak boleh melebihi RM2.60 sekilogram.

“Lonjakan harga terus berlaku apabila ia dihantar kepada pemborong sebelum tiba kepada peruncit. Berdasarkan kos semasa di peringkat pemborong mungkin harganya sudah mencecah RM3.20 sekilogram atau RM32 bagi beras 10 kilogram,” katanya.

Pada masa sama, Musonnef berkata, tindakan tersebut mengakibatkan pengilang kecil terpaksa menanggung kerugian besar.

Bagaimanapun, katanya, program intervensi kerajaan dengan mengambil 20 peratus daripada hasil beras putih daripada kilang melalui Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dijangka dapat memulihkan semula bekalan SST di pasaran.

Katanya, apabila beras SST banyak di pasaran, taktik menukar kampit beras tempatan kepada import dapat dihentikan secara berperingkat kerana orang ramai mudah untuk peroleh bekalan beras tempatan.

“Langkah tersebut bukan saja dapat menjamin bekalan beras tempatan di pasaran malah akan menstabilkan harganya bagi mengelakkan ia dimanipulasi.

“Setakat ini, difahamkan, kerajaan akan mengambil 20 peratus beras yang sudah diproses daripada kilang dengan harga RM2,250 bagi setiap tan dan dihantar kepada pemborong untuk dibungkus dan dihantar ke peruncit.

“Berdasarkan kadar tersebut, ia masih boleh menepati harga kawalan beras tempatan iaitu RM26 bagi setiap 10 kilogram,” katanya.

Minggu lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan akan melaksanakan langkah intervensi bagi meningkatkan bekalan beras putih tempatan di pasaran sebanyak 20 peratus.

Katanya, pihak pengilang padi telah bersetuju memberi tambahan 20 peratus kuota padi kepada kerajaan melalui Bernas selain memberi kuota tambahan sama kepada pemborong-pemborong bumiputera.

Kementerian itu berkata, keputusan tersebut dicapai melalui sesi libat urus bersama industri pengilang padi dan pemborong beras zon utara pada 27 Ogos lalu di Alor Setar, Kedah.

“Kerajaan berharap dengan langkah ini, bekalan beras putih tempatan di pasaran akan kembali pulih dalam waktu terdekat dengan pertambahan jumlah pengeluarannya di pasaran.

“Sehingga kini, harga beras putih tempatan masih kekal pada harga kawalan RM2.60 sekilogram sejak tahun 2008 dan ia adalah harga terendah di rantau ini,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat