Oleh: Zihan Zari
BANDAR ENSTEK – Pelatih Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) yang bakal memakai topi sebagai penjawat awam diseru agar sentiasa mempersiapkan diri sepenuhnya kerana tugas yang menanti semestinya mencabar dan memberi anjakan baharu dalam kehidupan mereka kelak.
Kerjaya sebagai pegawai CGSO semakin mencabar dan menuntut pengorbanan dan perlu menunjukkan disiplin, komitmen yang tinggi dan profesional dalam mendepani amanah serta tanggungjawab kepada. masyarakat
Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri (TKSUK JPM), Datuk Awang Alik Jeman berkata demikian pada majlis perbarisan tamat latihan Kursus Asas Keselamatan Perlindungan Siri 1/ 2024 dan Hari Terbuka CGSO di Institut Latihan Keselamatan Perlindungan Malaysia (ILKEM) pada Khamis.
Turut hadir, TKSU (Pengurusan) JPM, Datuk Abd Shukor Mahmood; TKSU (Kewangan & Pembangunan) JPM, Datuk Abdul Halim Hamzah; Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan (Dasar) JPM, Julaila Engan; Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan (Operasi) JPM, Hj. Mohd Najib Surip dan Pengarah ILKEM, Roselan Mohamed.
Awang Alik berkata, pelatih perlu mencari masa untuk menuntut ilmu daripada pegawai-pegawai berpengalaman yang boleh diterapkan di dalam diri dan diguna pakai semasa mereka berhadapan dengan masyarakat di alam pekerjaan nanti.
Menurutnya, CGSO bertanggungjawab meneraju dan memacu pembangunan pengurusan keselamatan perlindungan yang menerapkan keterangkuman keselamatan fizikal, dokumen, ICT, personel dan sasaran penting negara melibatkan kerajaan dan swasta.
“Setiap pegawai CGSO yang baharu dilantik harus melalui kursus ini bagi memastikan tanggungjawab menguruskan keselamatan pelindungan tercapai dan mendapat latihan asas yang mencukupi sebagai persediaan sebelum mereka mula bertugas.
“Kursus ini menggunakan modul latihan yang direka khas seperti ujian pengukuhan dan ketahanan diri serta ujian akademik yang diakhiri dengan peperiksaan bagi penilaian pelatih.
“Dengan meningkatkan ilmu dan kemahiran, saya yakin para pegawai akan sentiasa menjalankan tugas dengan cekap, efektif dan produktif dalam menyampaikan perkhidmatan yang cemerlang serta bersedia untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan, Dato ’ Rahimi Ismail berkata, seramai 129 pelatih lantikan baharu untuk skim Keselamatan dan Pertahanan Awam (KP) terdiri daripada Gred KP41, KP29, KP19 dan KP11, yang
telah menjalani latihan pada 15 Julai hingga 8 Ogos 2024.
Beliau berkata, CGSO, JPM merupakan sebuah agensi peneraju keselamatan perlindungan yang bertanggungjawab bagi memastikan semua aset dan kerahsiaan kerajaan terpelihara.
“Latihan kepada pegawai lantikan baharu perlu dititikberatkan bagi memastikan tanggungjawab menguruskan keselamatan pelindungan tercapai dengan semua pegawai mendapat latihan asas yang mencukupi sebagai persediaan sebelum mula bertugas,” katanya
Ujarnya lagi, modul latihan yang digunapakai telah dibina oleh ILKEM untuk pelatih-pelatih melalui pelbagai ujian pengukuhan dan ketahanan diri serta ujian akademik, diakhiri dengan peperiksaan bagi penilaian pelatih.
“ILKEM di bawah CGSO berperanan dalam memperkasakan pengurusan keselamatan perlindungan dan sasaran penting secara holistik, bersepadu dan berimpak tinggi,” katanya.
Sementara itu, menurut kenyataan Bahagian Penyelarasan dan Korporat
JPM memaklumkan Hari Terbuka GCSO 2024 diadakan bagi memperkenalkan fungsi dan peranan serta merakyatkan CGSO dengan komuniti setempat.
Selain itu, menjalinkan hubungan kerjasama dengan rakan strategik CGSO serta mengangkat ILKEM sebagai sebuah pusat latihan yang unggul setara dengan pusat latihan ternama yang lain.
Katanya, CGSO telah menyasarkan seramai 3000 pengunjung bagi memeriahkan hari terbuka ini yang terdiri daripada pemegang taruh, agensi kerajaan, swasta, rakan strategik, pemain industri pembekalan kelengkapan dan percetakan keselamatan, sektor sasaran penting negara, institusi pengajian tinggi, sekolah dan komuniti setempat.
Antaranya, 17 buah agensi kerajaan dan 14 agensi swasta yang mempamerkan produk masing-masing selain aktiviti menarik seperti treasure hunt, saringan kesihatan, pameran kerjaya, dikir barat, tayangan filem, jualan Rahmah dan pertandingan kawad Piala Pusingan Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan serta cabutan bertuah. – SUARA.TV