KUALA LUMPUR, – Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengumumkan penubuhan semula Ayuh Malaysia sebagai satu gerakan massa baharu yang memfokuskan kepada pembangunan perusahaan sosial (social enterprise), dalam langkah yang dilihat sebagai anjakan peranannya pasca-politik kabinet.
Menurut Rafizi pelancaran rasmi Ayuh Malaysia akan berlangsung pada 27 Julai ini, dan bakal menjadi platform sehenti bagi membina jaringan perusahaan sosial yang menyasarkan penglibatan langsung rakyat marhaen dalam mengurus, membangunkan dan menyampaikan khidmat kepada masyarakat, khususnya golongan rentan.
“Saya tidak bermula sebagai ahli politik. Saya bermula sebagai aktivis yang percaya Malaysia perlu berubah kepada sistem yang lebih telus, berasaskan keamanahan dan merit,” jelas Rafizi menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau turut mengaitkan keputusan berlapang dada untuk berundur daripada jawatan Menteri Ekonomi dengan komitmen untuk membina ekosistem akar umbi yang lebih lestari dan bebas dari pergolakan kuasa politik.
Menurut Rafizi, Ayuh Malaysia akan mempelopori pembangunan sektor ketiga iaitu sektor perusahaan sosial sebagai jalan tengah antara perniagaan komersial yang berorientasikan keuntungan dan NGO tradisional yang bergantung kepada dana sumbangan.
“Model ini masih asing di Malaysia. Kita biasa dengan perniagaan bermotif untung atau NGO tanpa aktiviti ekonomi. Ayuh Malaysia akan menghubungkan kedua-dua dunia ini masyarakat dan kecekapan operasi,” tambah beliau.
Antara fungsi utama Ayuh Malaysia ialah menyokong pembentukan sebanyak mungkin perusahaan sosial dalam pelbagai bidang oleh komuniti sendiri; menawarkan bantuan kepakaran dan penyeliaan kewangan; dan menyusun jaringan rakyat untuk memperkasakan impak ekonomi dan sosial; serta menghubungkan perusahaan sosial terus kepada kumpulan penerima sasar.
Gerakan Massa Pasca Politik?
Penjenamaan semula Ayuh Malaysia yang sebelum ini digunakan sebagai jentera pilihan raya Pakatan Harapan menjelang PRU15 kini beralih arah kepada platform ekonomi rakyat mengundang spekulasi tentang peranan Rafizi dalam politik arus perdana selepas pemilihan KEADILAN 2025.
“Saya percaya sebahagian perubahan perlu dibawa melalui politik, tetapi sebahagian lagi mesti digerakkan dari akar umbi tanpa menunggu restu politikus,” ujar beliau, sambil menyeru para aktivis dan rakyat biasa untuk terlibat dalam pelancaran inisiatif tersebut.