“Pertimbang saranan kami tubuh RCI, elak PM dan kerajaan jadi sasaran kritikan pembangkang “- Rafizi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini mengesahkan bahawa kerajaan sendiri mengakui persoalan mengenai integriti badan kehakiman ini telah menjadi isu nasional.

Justeru Datuk Seri Rafizi Ramli menasihatkan, demi mempertahankan imej kerajaan, adalah lebih baik kerajaan mempertimbangkan saranan daripada mereka (ahli-ahli parlimen kerajaan) daripada terus menjadi sasaran kritikan pembangkang.

“Sebab itulah, saya mengesyorkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat dan memutuskan mengenai dakwaan-dakwaan ini, kerana selagi ia tidak diselesaikan, ia akan mengundang kemarahan kepada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

“Saya merujuk kepada kenyataan AGC hari ini susulan dari satu sidang media yang diadakan oleh sembilan Ahli Parlimen PKR semalam.

“Sementara saya mengalu-alukan pandangan AGC, kenyataan tersebut memberi pengesahan tidak langsung kepada perkara-perkara yang telah dibangkitkan; bahawa terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan ada pencalonan dari Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tidak dipertimbangkan atau tidak diambil tindakan; bahawa mesyuarat JAC yang terkini dipanggil tanpa mematuhi notis 10 hari
seperti kehendak pentadbiran.

“Juga tuduhan seorang hakim Mahkamah Persekutuan terlibat dalam mempengaruhi keputusan mahkamah dan penugasan semula hakim ada dibincangkan di dalam satu mesyuarat JAC,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, penjelasan-penjelasan yang diberikan di dalam kenyataan adalah pandangan AGC bahawa perkara-perkara berkenaan tidaklah serius sehingga boleh menjerumuskan institusi kehakiman ke kancah krisis; dan tidak boleh disamakan dengan skandal VK Lingam pada tahun 2007.

“Inilah persoalan pokok yang saya dan rakan-rakan Ahli Parlimen PKR timbulkan semalam.

“Sementara saya sedia maklum peruntukan Perlembagaan Persekutuan bahawa tanggungjawab menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah kuasa Perdana Menteri; dan kuasa JAC ialah mengemukakan senarai calon yang telah dipertimbangkan dan ditapis kepada Perdana Menteri; keadaan bila mana ada kekosongan mendesak dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Persekutuan akibat kelewatan pelantikan membayangkan Perdana Menteri tidak bersetuju dengan calon-calon yang telah dikemukakan JAC.

“Secara pentadbiran dan undang-undang, perkara ini boleh dijelaskan seperti mana kenyataan AGC,” ujar bekas Menteri Ekonomi itu lagi.

Namun dari sudut pandangan umum, kata Rafizi ia menguatkan spekulasi bahawa cabang eksekutif mahu mempengaruhi pelantikan hakim-hakim yang difikirkan lebih serasi dengan pandangan kerajaan.

“Jika tanggungjawab Perdana Menteri di bawah Perlembagaan adalah melindungi kebebasan, kredibiliti dan integriti badan kehakiman seperti kenyataan AGC, maka perkara-perkara yang boleh mengundang spekulasi seperti itu (cubaan mempengaruhi
pelantikan hakim) perlulah dielakkan, kalau pun ia tidak melanggar tatacara prosedur.

“Apatah lagi dalam keadaan sekarang, kenyataan AGC mengesahkan mesyuarat JAC memang membincangkan mengenai tuduhan cuba mempengaruhi keputusan kes oleh seorang hakim Mahkamah Persekutuan.

“Bukanlah tempat atau hak AGC untuk menilai dan menentukan sama ada itu satu dakwaan pra-matang atau bersifat spekulatif semata-mata. AGC sendiri mengakui bahawa pertimbangan dalam mesyuarat JAC adalah bersifat rahsia, jadi bagaimana AGC boleh membuat kesimpulan dakwaan-dakwaan itu tidak ada merit? soal beliau.

Tegas Rafizi integriti badan kehakiman bukan terletak semata-mata kepada susun atur dan perjalanan proses mengikut prosedur.

“Lebih penting, integriti badan kehakiman perlu diyakini oleh rakyat dan pemegang taruh, yang menilai perkara-perkara secara
keseluruhan dalam konteks rentetan peristiwa yang berlaku,” tegasnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat