KUALA LUMPUR – Nama Malaysia terus meniti di bibir para pelabur antarabangsa hasil komitmen tidak berbelah bahagi seluruh pasukan Kerajaan Madani dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memacu pertumbuhan dan menjana manfaat buat rakyat.
Justeru Perdana Menteri Daatuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan, usah kita terganggu dengan suara sumbang yang cuba memperlekeh usaha ini.
Tegas beliau, perjalanan Malaysia masih panjang dan kerajaan akan terus mara dengan tekad serta iltizam membawa perubahan nyata buat negara dan generasi penerus.
“Selesai sudah segala urusan rasmi delegasi Malaysia sempena Sidang Kemuncak BRICS di Rio de Janeiro, Brazil. Kini tiba masanya untuk kembali ke tanah air tercinta.
“Alhamdulillah, lawatan kali ini berjaya mencapai matlamat utama iaitu memperkukuh hubungan dua hala bukan sahaja dengan Brazil, malah dengan negara-negara anggota BRICS yang lain dalam memperluas jaringan kerjasama strategik Malaysia di peringkat global.
“Setinggi-tinggi penghargaan saya rakamkan kepada semua yang menjayakan misi ini termasuk para pegawai dan agensi kementerian, Kedutaan Besar Malaysia di Brazil, pasukan keselamatan serta para petugas media atas dedikasi dan komitmen tinggi sepanjang berada di sini,” catat Perdana Menteri.
Ujar Menteri Kewangan itu, kerajaan terus melangkah ke hadapan demi Malaysia yang lebih disegani, stabil dan sejahtera.