Puteri Umno Usaha Pikat Pengundi Muda Dengan Kuasa Digital

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Fokus utama Puteri Umno menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri nanti ialah mendekati anak muda berusia 18 hingga 40 tahun dan pengundi kali pertama.

Ketua Puteri Umno, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dalam ucapan dasarnya berkata, sayap bongsu parti itu akan menumpukan fokus kepada 3P (perpaduan, perhebat, perkemas) sebagai hala tuju dan 3S (santun, selaras, sebar).

“Strategi ini sebagai gerak kerja kita dan inilah ‘core business’ kita, anak muda fokus kita, terus jalankan peranan sebagai pemimpin muda.

“Jangan mudah hilang fokus dengan isu atau perkara yang remeh-temeh. Tumpu usaha untuk tarik golongan muda bersama kita, kerana Puteri perlu barisan pelapis yang subur dengan idea baru,” katanya pada Perhimpunan Agung Puteri Umno 2023 yang mengangkat tema “Perteguh Perpaduan, Kewaspadaan Dalam Dinamika Politik di WTCKL pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyeru semua ahli Puteri untuk meluaskan perspektif atau sudut pandang mereka berkait Kerajaan Perpaduan yang dianggotai oleh Umno bersama-sama Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, perpaduan yang terjalin di antara parti-parti yang menerajui kerajaan adalah teras kepada kestabilan politik, kepentingan rakyat dan bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.

“Justeru, bagaikan biduk berlalu, kiambang bertaut, kita sambut tangan perpaduan, yang dihulurkan oleh PH, demi kelangsungan parti kita, demi mudarat yang lebih kecil, dan demi rakyat, tatkala negara dan kita semua memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, untuk merancakkan ekonomi, dan pembangunan negara.

“Mahu atau tidak, rela atau paksa rela, kita kena menerima kedinamikan politik. Mungkin selama ini kita sudah selesa dengan budaya dan tradisi politik kita, program dan gerak kerja cara kita. Namun demi kelangsungan pergerakan puteri, marilah rakan-rakan semua bersama saya, kita lakukan anjakan paradigma dengan membuka ruang, untuk bekerjasama dengan parti-parti lain di bawah Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Sementara itu, Nurul Amal berkata antara pembaharuan gerak kerja yang akan dilaksanakan sayap berkenaan adalah dengan mendigitalkan kesemua gerak kerja, bagi memudahkan koordinasi dan tugas jentera.

“Tak perlu lagi cetak sana-sini, bawa printer ke situ dan ke sini. Lagi laju dan tersusun kita buat kerja, dengan harapan, kerja kita dapat dijalankan dengan lebih optimum dan bawa hasil yang lebih baik,” katanya.

Beliau juga menyarankan agar Puteri Umno memperhebatkan platform sosial media sebagai mendium penyampaian dan penyebaran maklumat mengikut keperluan lokaliti dan peringkat umur yang disasarkan selain meminumkan jurang sayap itu dengan golongan muda.

“Jadi, selaraskan kaedah dan pendekatan yang bersesuaian dengan golongan yang kita nak hampiri. Contohnya kelompok 18 tahun ke 25 tahun guna cara A, yang 25 tahun ke atas guna cara B dan 30 tahun ke atas, guna cara C. Kita kena lebih progresif dan kreatif terokai cara baru yang sesuai,” katanya.

Selain itu, beliau juga memberitahu ahli-ahli Umno perlu faham dan hadam meskipun dengan penyatuan Kerajaan Perpaduan namun Umno tetap berdiri atas prinsip perjuangan parti.

Jelasnya, identiti Umno masih sama, namun, apa yang boleh ditambah baik ialah anjakan pola fikir,dan gagasan fikiran yang lebih terbuka.

“Kita tak mahu hilang identiti parti dalam simbiosis politik ini. Perihal keperibadian jati diri kita terus utuh, malah lebih kukuh menyusur waktu.

“Perkasakan rumah kita ini, tegakkan tiang seri yang menjadi tonggak keteguhan rumah ini, jangan robohkan rumah kita dari dalam, agar kita semua dapat terus berteduh dan tinggal harmoni di dalamnya. Kalau rumah kita bocor, kita semua akan merasa bahang panas dan
tempias hujan,” seru beliau.

Menurut Nurul Amal, Umno masih lagi diperlukan dalam negara ini.

“Kita ada kebolehan dan kelebihan yang tak dapat disangkal. Pengalaman pemimpin kita dalam mentadbir urus negara usah dipertikai.

“Sejarah pemimpin-pemimpin Umno sebagai menteri-menteri yang memegang portfolio yang hebat dan penuh kredibiliti telah terbukti.
“Malah, mereka berjaya mengangkat kedudukan negara ke tahap yang lebih tinggi,” kata beliau.

Kredit Foto: Facebook

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat