KUALA LUMPUR – “Kita selesaikan dahulu mereka yang nak vaksin, selepas itu kita ‘tackle’ (tangani) antivaksin,” kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19, Khairy Jamaluddin.
Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, kerajaan sedang memberi tumpuan bagi mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan mensasarkan lebih ramai penerima vaksin.
“Ada ramai nak vaksin yang belum lagi dapat diberikan vaksin. Jadi kita selesaikan dahulu yang nak vaksin, kemudian yang enggan terima vaksin,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor Bahru (Persada Johor) di sini, Johor Bahru.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.
Memetik Harian Metro Khairy berkata, belum ada sebarang tindakan undang-undang ke atas golongan antivaksin yang menghasut orang ramai daripada menyokong PICK.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan sedang mengkaji untuk mengenakan tindakan undang-undang ke atas golongan antivaksin di negara ini jika golongan itu didapati menghasut orang ramai daripada menyokong PICK.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan juga sudah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) mengkaji pelaksanaan program imunisasi secara wajib jika jumlah pendaftaran gagal mencapai sasaran imuniti kelompok.
Pada program itu, Khairy berkata, pengoperasian PPV yang memasuki hari kedua di Persada Johor mendapati ia selesa menampung temu janji seramai 1,000 orang.
“Pada khamis ini, akan meningkatkan kapasiti kepada 3,000 penerima vaksin dan saya melihat berdasarkan kepada laporan daripada pengurus PPV mereka yakin bahawa apabila ditingkatkan kepada 3,000 masih lagi selesa kepada penerima.
“Kita sudah bincang tadi dengan Menteri Besar mengenai keperluan untuk menambah lagi PPV kerana Johor sekarang purata 14,000 penerima vaksin sehari, pada September nanti kita perlu tingkatkan 50,000 sehari di Johor sahaja.
“Ini kita hanya dapat buat dengan penambahan PPV termasuk klinik-klinik GP (klinik perubatan am swasta (GP),” katanya.