KUALA LUMPUR – Polis tidak menolak kemungkinan kes penculikan Datin Seri Pamela Ling Yueh mungkin telah dirancang sendiri, namun siasatan lanjut masih dilaksanakan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, elemen itu adalah antara intipati yang turut diambil kira oleh pasukan siasatan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur.
“Kita tidak dapat mengesahkan kesahihan perkara ini namun ia turut diambil kira dalam elemen siasatan kita,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, lapor Sinar Harian pada Khamis.
Rusdi berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), polis mendapati mangsa mengikut arahan suspek tanpa sebarang pergelutan, dan pergerakan penculikan berjalan lancar.
“Kita sedang menyiasat semua aspek kes ini untuk menentukan sama ada insiden tersebut benar-benar satu penculikan atau sesuatu yang telah dirancang oleh mangsa sendiri,” katanya.
Rusdi berkata, siasatan masih dijalankan dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan penculikan itu merupakan satu perancangan sendiri.
“Siasatan masih di peringkat awal,” katanya.
Pamela memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekitar jam 1.30 petang hingga 2.10 petang, pada 9 April lalu.
SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa Pamela telah dipanggil hadir ke ibu pejabatnya pada tarikh berkenaan, namun tidak muncul seperti dijadualkan.
Peguamnya juga telah membuat laporan polis pada hari yang sama.
Menurut kenyataan itu, tanggungjawab untuk mengesan keberadaan Pamela kini terletak di bawah bidang kuasa polis.
Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi serta membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.
Selain itu, polis yakin Pamela yang hilang di Putrajaya pada 9 April lalu masih berada dalam negara.
Rusdi berkata, sehingga kini tiada sebarang pergerakan keluar mangsa direkodkan oleh data Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Kali terakhir dia keluar (negara) bulan Januari lalu, setakat ini tiada pegerakan dia keluar daripada Malaysia melalui saluran yang sah.
“Apa pun kita berdasarkan rekod di Jabatan Imigresen dan setakat ini tiada pergerakan keluar.
“Kalau berdasarkan rekod Imigresen kita percaya (Pamela) masih ada di Malaysia,” katanya.