KUALA LUMPUR: Demi menggapai bintang di langit, berbekalkan bakat, jiwa kental, keyakinan dan doa insan di sekeliling, begitu jauh figura terkenal ini berkelana membawa langkah ke bumi asing untuk menjadi perantau seni.
Berpegang teguh prinsip genggam api biar sampai jadi arang, pengorbanan Yuna meninggalkan keluarga, tanah air tercinta dan kerjaya seni yang sedang memuncak lebih satu dekad lalu, nyata membuahkan hasil apabila pelbagai kejayaan dilakar, sekali gus menambahkan kecemerlangan dalam portfolionya.
Selain menghasilkan karya yang mendapat pengiktirafan antarabangsa, Yuna juga menimba pengalaman berharga apabila berpeluang berkolaborasi dengan penyanyi tersohor seperti Usher dan artis Korea Selatan, Shaun.
Namun di sebalik sejarah peribadi yang dilakar, ada sedikit rasa terkilan dalam diri pemilik nama lengkap Yunalis Mat Zara’ai, 37, apabila ada yang menyangka kejayaannya menempa nama peringkat antarabangsa mengaburi mata hingga lupa asal usul.
“Memang ada peminat di Malaysia tidak begitu mengikuti perkembangan saya di Los Angeles menyangkakan saya lupa diri.
“Malah, jika saya balik ke Malaysia, ada juga makcik-makcik bertanya sudah tak buat muzik lagi ke?
“Mereka beranggapan sedemikian kerana saya sudah lama tidak merakamkan lagu dalam
bahasa Melayu,” katanya kepada BH Online ketika hadir di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini.

Yuna berkata, suaminya, Adam Sinclair, 40, kelakar apabila ada yang mengatakan isterinya sudah lupa asal usul.
“Ini kerana sepanjang pengetahuannya, jati diri saya terhadap Malaysia sangat kuat.
“Walaupun sudah berhijrah dan mencari rezeki ke luar negara, jiwa Melayu saya tak pernah berubah.
“Saya masih masak makanan Melayu seperti kari dan tumbuk sambal belacan.
“Malah, saya sanggup membeli banyak-banyak bila terjumpa jenama minuman cukup popular di Malaysia.
“Dengan cara ini saya rasakan diri begitu dekat dengan tanah air tercinta,” katanya.
Justeru, kata Yuna, kemunculan EP berjudul Masih Yuna di platform digital sejak 27 April lalu menjadi bukti dirinya masih mahu merakamkan album dalam bahasa Melayu seperti yang didambakan.
“Judul album Masih Yuna ini sudah cukup untuk menggambarkan saya masih Yuna yang sama dan tidak berubah,” ungkap penyanyi Terukir Di Bintang ini.
Di sebalik populariti dikecapi, ada harga yang perlu dibayar penyanyi bersuara gemersik ini apabila penampilannya sering menjadi sasaran kritikan netizen.
Namun, tegas Yuna, dia mengambil sikap enggan ambil peduli komen toksik yang boleh menggugat ketenteraman minda.
“Kalau di Facebook (FB). memang banyak komen negatif, tetapi berbeza dalam Instagram (IG) kerana kebanyakan pengikut adalah peminat.
“Sekarang saya semakin bijak. Kalau dahulu saya baca setiap komen dan sekat mereka yang toksik, kali ini saya abaikan sahaja.
“Lebih baik saya tumpukan perhatian kepada komen peminat yang memberi sokongan dalam apa juga saya lakukan,” ungkap penyanyi kelahiran Alor Setar, Kedah ini.

Beralih kepada kehidupan peribadi, Yuna mengakui, soal cahaya mata masih dibangkitkan kepadanya.
Tidak tertekan atau tersinggung dengan asakan pertanyaan, Yuna memaklumkan, dia dan suami masih berusaha dan menyerahkan perkara itu kepada Yang Maha Esa.
“Kami tidak pernah merancang, cuma masih belum ada rezeki. Saya juga teringin nak jadi ibu.
“Dua wanita yang memberi inspirasi saya untuk menjadi ibu terbaik adalah ibu saya dan kakak
ipar, Aishah Sinclair.
“Saya seronok melihat cara Aishah mendidik anak-anaknya yang bijak dan comel. Disebabkan itu, saya mahu menjadi ibu sepertinya,” ujar Yuna.
Terdahulu, album Masih Yuna mengandungi empat lagu iaitu Menanti, Masih Sunyi, Asing dan Camaraderie.
Lagu Menanti terpilih menjadi single pertama dihasilkan sepenuhnya oleh Yuna bersama penyanyi rap antarabangsa, penggubah lagu dan penerbit muzik yang berpangkalan di Berlin, Jerman iaitu Kenny J Macartney dan diterbitkan oleh Yuna Music.
Berita Harian