SUBANG JAYA, 8 April – Seramai 55 mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights menerima bantuan berupa motosikal baharu daripada syarikat konsesi kenderaan kerajaan, Spanco Sdn Bhd, dalam usaha memulihkan semula kehidupan mereka yang terjejas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bantuan tersebut melibatkan pemilikan penuh motosikal tanpa sebarang bayaran dikenakan kepada penerima, termasuk cukai jalan, insurans tahun pertama dan nombor pendaftaran.
“Ini dapat membantu mangsa bukan hanya kehilangan motosikal sebagai mod pengangkutan, tetapi mungkin memerlukannya untuk mencari nafkah kehidupan,” katanya selepas majlis penyerahan motosikal kepada penduduk yang terkesan di Stesen LRT Putra Heights hari ini.
Menurut Loke, kebanyakan penerima berasal dari Kampung Kuala Sungai Baru, dan proses pemilihan dilakukan dengan teliti bagi memastikan mereka benar-benar terkesan akibat insiden kebakaran yang berlaku pada Selasa lalu. Penyenaraian dibuat dengan bantuan ketua kampung tempatan.
Tambah beliau, usaha menyewa motosikal sebagai langkah sementara tidak dapat direalisasikan, menyebabkan pihak kementerian segera mendapatkan penajaan bagi membekalkan kenderaan baharu kepada mangsa.
“Memang tak dapat cari motosikal untuk disewakan, maka kami terus dapatkan penajaan dan terus membeli motosikal kepada mangsa. Mereka tak perlu bayar apa-apa,” katanya.
Dalam pada itu, Loke turut merakamkan penghargaan kepada pengeluar motosikal Yamaha yang bersetuju menjual unit pada harga subsidi RM5,000 seunit — lebih rendah berbanding harga pasaran biasa iaitu RM5,800.