Kokolopori – Kajian terbaru oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Zürich dan Universiti Harvard mendedahkan bahawa bonobo liar menggunakan bunyi yang menyerupai struktur bahasa manusia, termasuk keupayaan menyusun bunyi menjadi maksud yang lebih kompleks.
Kajian dijalankan di Kokolopori Community Reserve di Republik Demokratik Congo, tempat habitat semula jadi bonobo.
Para saintis menggunakan kaedah baru daripada bidang linguistik (kajian bahasa) dan mendapati bahawa bonobo juga menggunakan konsep komposisionaliti—iaitu keupayaan untuk menggabungkan bunyi yang membawa maksud tertentu bagi mencipta maksud baharu.
“Kaedah ini membolehkan kami membina sejenis ‘kamus bonobo’—senarai lengkap bunyi bonobo dan maksudnya,” kata Mélissa Berthet, penyelidik pascakedoktoran dari Universiti Zürich dan ketua kajian tersebut.
“Ini adalah langkah penting untuk memahami komunikasi haiwan lain kerana ini kali pertama kami dapat menentukan maksud panggilan bonobo bagi keseluruhan bunyi vokal mereka.”
Selepas memahami maksud setiap bunyi individu, para penyelidik meneruskan kajian terhadap gabungan bunyi, menggunakan pendekatan linguistik yang lain.
“Dengan kaedah kami, kami dapat mengukur bagaimana maksud bunyi tunggal bonobo dan gabungan bunyi itu saling berkait,” kata Profesor Simon Townsend, pengarang bersama kajian dari Universiti Zürich.
Kajian mendapati bahawa banyak gabungan bunyi bonobo membawa maksud yang berpaut kepada maksud asal setiap bunyi tunggal, yang merupakan ciri penting dalam bahasa manusia. Malah, beberapa gabungan ini menunjukkan struktur yang hampir sama dengan ayat yang kompleks dalam bahasa kita.
“Ini menunjukkan bahawa keupayaan untuk menyusun bunyi secara kompleks bukan hanya milik manusia seperti yang kita sangka sebelum ini,” jelas Berthet.
Kajian ini turut memberikan petunjuk penting tentang asal-usul evolusi bahasa manusia.
“Memandangkan manusia dan bonobo berkongsi nenek moyang kira-kira 7 hingga 13 juta tahun lalu, banyak ciri telah diwarisi, dan nampaknya komposisionaliti adalah salah satunya,” kata Profesor Martin Surbeck dari Universiti Harvard.
“Kajian ini mencadangkan bahawa nenek moyang kita mungkin sudah menggunakan struktur komunikasi kompleks sekurang-kurangnya 7 juta tahun dahulu,” tambah Townsend.
Penemuan ini memberikan gambaran bahawa keupayaan membentuk makna yang kompleks daripada gabungan bunyi sudah wujud lama sebelum bahasa manusia berkembang, dan komunikasi vokal bonobo sebenarnya lebih mirip dengan bahasa manusia berbanding apa yang kita sangka sebelum ini.
Sumber Kajian : Science.org