Gambar hiasan
GUA MUSANG: Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan yang membabitkan empat kenderaan di Kilometer (KM) 27 Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Bukit Sejuk, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu mangsa, Wan Jusoh Ab Rahman, 70, maut ditempat kejadian apabila mengalami kecederaan parah dibahagian badan dan dua lagi mangsa cedera parah.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata, kejadian berlaku apabila kenderaan jenis Perodua Kancil yang dipandu mangsa bertembung dengan Honda City dari arah bertentangan.
“Kemalangan berlaku apabila kenderaan yang dipandu mangsa yang juga warga emas dari arah Chiku menuju ke Bandar Gua Musang bertembung dengan sebuah kenderan lain dari Gua Musang ke Kuala Krai yang terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan.
“Kenderaan yang terbabas turut melanggar dua lagi kenderaan lain yang berada di belakang Perodua Kancil terbabit iaitu kereta jenis Produa Axia dan Proton Persona,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang tersepit berjaya di keluarkan oleh anggota Bomba dan mayat mangsa di bawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Diminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaaan kejadian bolehlah menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Diraja (IPD) Gua Musang di talian 099121222 atau Pegawai Penyiasat di talian 0133010408,” katanya.