KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin digesa untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkait status menukarkan tempat tahanan Datuk Seri Najib Razak dari Penjara Kajang ke tahanan rumah.
Gesaan itu disuarakan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Puad Zarkashi.
“Pertanyaan Ismail Sabri di Parlimen mesti dijawab dengan telus oleh Peguam Negara.
“Apakah benar bila rayuan pengampunan dibuat ada lampiran Najib mohon dibenarkan tahanan dalam rumah?
“Apatah lagi kalau benar memang wujud nota perkenan supaya Najib dibenarkan tahanan dalam rumah. Mesti ada ketelusan,” ujar Puad.
Dalam perbahasan Titah Diraja pada Khamis, Ismail Sabri mengemukakan soalan kepada kerajaan.
Katanya, sewaktu membuat rayuan pengampunan Najib beliau difahamkan ada lampiran supaya Najib ditukarkan tempat tahanan dari Penjara Kajang ke tahanan di rumah.
Malah Ismail Sabri turut difahamkan penukaran tahanan penjara ke tahanan rumah itu ada di dalam
petisyen permohonan.
“Adakah ini benar atau tidak?
“Kalau benar, adakah ia dibincangkan semasa pembentangan rayuan Najib? soal Ahli Parlimen Bera itu.