KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata keputusan Umno menggantungnya selama enam tahun mungkin kerana bimbang parti itu tidak akan mendapat pengecualian daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap usul tambahan untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno.
Malah Ahli Parlimen Sembrong itu juga tidak menolak kemungkinan, Khairy Jamaluddin dipecat daripada menganggotai Umno kerana asas sama.
Dalam perkembangan sama, Hishammuddin berkata usul untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden juga dikemukakan sehari selepas beliau mengumumkan mahu mencabar Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam pemilihan akan datang.
“Selepas usul itu diluluskan Umno, ada pihak yang mengatakan ia bertentangan dengan perlembagaan parti malah mereka membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
“Hanya selepas itu kami dipecat dan digantung kerja. Mungkin pertimbangan (untuk penggantungan dan pemecatan) adalah pemilihan parti, sekiranya KDN tidak memberikan pengecualian,” katanya lapor FMT.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Umno telah diberikan pengecualian di bawah Akta Pertubuhan 1966 untuk resolusi yang menghalang pertandingan untuk dua jawatan tertinggi dalam pemilihan parti akan datang.
Saifuddin berkata, pengecualian itu diberikan menurut Seksyen 70 Akta, yang memberi kuasa kepada menteri untuk menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan akta tersebut.
Susulan kenyataan Saifuddin, Khairy berkata keputusan untuk mengecualikan Umno daripada mematuhi seksyen dalam Akta Pertubuhan 1966 adalah bukti bahawa usul tidak bertanding telah melanggar undang-undang.
“Jika tidak, tidak ada keperluan untuk pengecualian,” katanya dalam video TikTok.
Bulan lalu, dilaporkan RoS sedang menyiasat kemungkinan pelanggaran perlembagaan parti selepas usul itu diluluskan pada perhimpunan agungnya pada Januari.
Siasatan itu dibuat selepas dua ahli Umno membuat laporan kepada RoS mendakwa pembentangan usul itu pada perhimpunan agung telah melanggar Perkara 10 perlembagaan parti, yang memerlukan pemberitahuan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum pembentangan usul.