Buai emosi peminat

- Advertisement -

DARIPADA seorang penyanyi baru, Yura Yunita akhirnya ‘mekar’ menerusi rangkaian lagu-lagu yang sarat dengan emosi.

Peminat yang hadir ternyata berpuas hati dan berlapang dada dengan persembahan Yura pada malam Konsert Tutur Batin baru-baru ini.

Terkenal melalui lagu-lagu ciptaannya yang cukup puitis, setiap karya bekas peserta pertandingan realiti The Voice ini juga bagaikan magis yang mampu menjadi penyembuh jiwa buat si pendengar.

Menjadikan Malaysia sebagai lokasi pertama, penyanyi berusia 31 tahun itu juga memberitahu Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur menjadi pentas terbaik buat dirinya berkongsi apa yang dilalui bukan sahaja sebagai seorang anak seni tetapi seorang wanita dan juga isteri.

Menjadikan curahan jiwa sebagai bekal dalam karyanya, Yura turut berkongsi penceritaan di sebalik lagu yang dipersembahkan pada malam itu.

Rakan duet mendiang Glenn Fredly untuk lagu Cinta Dan Rahasia ini mula membangkitkan rasa sebak apabila mempersembahkan lagu yang banyak menaikkan namanya itu.

“Hargailah mereka yang berada di sekeliling kita kerana kita tidak tahu sampai bila mereka akan terus berada bersama kita. Peluklah mereka yang berada di sebelah sementara masih ada kesempatan itu.

“Glenn adalah orang yang banyak membantu menaikkan nama saya sehingga berada pada tahap ini. Kadang kala rasa seperti dia berada di sini mempersembahkan lagu ini bersama dengan saya,” kata Yura.

Sambil memegang topi yang sering digayakan Glenn, Yura sempat mendedikasikan penghargaan buat mentor yang banyak membantunya dalam bidang seni.

Profil penyanyi yang pernah menyertai pertandingan realiti The Voice itu bukan calang-calang kerana impak single Intuisi yang dilancarkan pada 2016 meninggalkan sejarah tersendiri buat Yura.

Menerusi lagu tersebut, dia menerima penghargaan Pencipta Lagu Terbaik pada Anugerah Musik Indonesia 2017 dan setahun kemudian, dia menjulang trofi Penyanyi Solo Wanita Terbaik pada acara sama.

Yura membuka pentas menerusi lagu Mulai Langkahmu, Merakit, Berawal Dari Tatap, Bandung, Institusi, Jalan Pulang, Buka Hati dan Hobi Ghosting.

Dalam pada itu, Yura turut berkongsi luahan jiwa mendendangkan lagu idolanya iaitu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang berjudul Engkau Laksana Bulan dalam versinya tersendiri.

Berehat seketika bagi menukar busana, penonton yang hadir dihiburkan dengan gabungan Tutur Batin daripada penggemar muzik Yura.

Menjadikan single berkenaan sebagai judul albumnya, Yura turut mengajak peminat untuk merakamkan lagu itu bagi versi seterusnya untuk dipersembahkan di negara lain.

Yura kemudiannya meneruskan persembahan menyampaikan lagu Duhai Sayang, Risalah Hati, Tenang, Tutur Batin, Dunia Tipu-Tipu, Hoolala dan Harus Bahagia.

“Sejak album pertama sehingga Merakit dan kini, Tutur Batin, ada banyak perkara yang ingin saya kongsikan bersama peminat menerusi karya.

“Pertunjukan Tutur Batin Live Concert Kuala Lumpur menjadi pentas saya dan peminat berkongsi rasa dan meraikan kehidupan yang penuh berliku, tetapi tidak pernah patah semangat untuk sentiasa berjuang.

“Soalnya setiap daripada kita mempunyai dugaan berbeza, sama seperti saya. Cumanya saya diberi kelebihan untuk berkongsinya melalui lagu-lagu ciptaan saya yang akan saya persembahkan kepada peminat saya di Malaysia,” katanya.

Melakarkan penghargaan buat penganjur konsert iaitu Renjana Idea, Yura turut memperkenalkan satu persatu pemuzik yang mengiringi persembahannya pada malam itu.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat