PRN Johor: Seimbangkan Kekang Penularan Covid-19 Dan Keberkesanan Kempen – Dr Adham

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Johor akur dengan apa sahaja ketetapan yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pun begitu, Pengarah Komunikasi BN Johor Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, beliau harap ada keseimbangan antara usaha mengekang penularan COVID-19 dan ruang menyuburkan demokrasi.

Beliau melihat berpandangan, parti-parti politik masih perlu mengadakan kempen secara fizikal supaya mesej dapat disampaikan terus kepada sasarannya.

Namun, katanya, harus ada juga batasannya supaya ia tidak akan menjadi penggalak kepada penularan jangkitan baharu, khususnya akibat varian Omicron.

“Kita tahu bahawa kaedah berkempen adalah seperti alat-alatan yang perlu digunakan, pertemuan bersemuka dan bahan cetak yang perlu diedarkan, yang memerlukan kaedah pergerakan fizikal.

“Jadi, kalau SPR menetapkan bahawa penularan wabak ada kaitan dengan pilihan raya, saya melihat bahawa kita boleh mencadangkan juga kepada SPR supaya SOP kempen berlandaskan kepada keutamaan.

“Pertama, memberikan demokrasi seluas-luasnya untuk menyampaikan mesej calon kepada pengundi, dan yang kedua, di kala itu kita imbangkan dengan usaha untuk membantu supaya penularan tidak berlaku secara meluas,” katanya memetik Astro AWANI malam tadi.

Pada masa sama, beliau yakin ia dapat dilaksanakan, memandangkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar pernah mengumumkan, SOP PRN Johor sudah hampir dimuktamadkan dan ia berbeza daripada PRN Melaka dan Sarawak.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob