KUALA LUMPUR – Orang ramai boleh melihat sendiri pencapaian setiap kementerian pada Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama empat hari mulai 9 Dis ini.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini berkata program itu akan menyediakan pelbagai pameran dari 26 kementerian dan lima agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.
“Ini adalah tarikan utama, pada ruang pameran ini orang ramai boleh melihat sendiri maklumat dan mendapat maklumat berkaitan dengan sesuatu kementerian atau mendengar penjelasan yang diberikan oleh pegawai bertugas. Malahan Menteri, KSU dan ketua jabatan akan berada di ruang reruai masing-masing.
“Selain itu orang ramai boleh melihat sendiri apakah KPI (petunjuk prestasi utama) ditetapkan dan setakat mana pencapaian setiap kementerian,” katanya semasa diwawancara dalam Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia menerusi program Malaysia Hari Ini.
Mohd Zuki berkata selama empat hari itu, orang ramai diberi peluang untuk memberi pandangan dan menyatakan hasrat mereka bagi memastikan rakyat Malaysia dapat bersama menikmati kejayaan dicapai negara.
Katanya, KPI setiap jemaah menteri dinilai berdasarkan tiga elemen utama iaitu penilaian prestasi kementerian masing-masing, penilaian kepimpinan berdasarkan kepada keberkesanan keberhasilan inisiatif serta penilaian persepsi awam terhadap jemaah menteri dan kementerian di bawah tanggungjawab mereka.
Beliau turut menjelaskan bahawa jemaah menteri perlu mengumumkan kad laporan pencapaian 100 hari masing-masing kepada rakyat bertujuan untuk menilai pencapaian dan prestasi menteri dan kementerian demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.
“Antara insiatif bagi setiap aspirasi berlandaskan kepada enam teras utama iaitu menstruktur semula ekonomi, menjamin keselamatan dan ketenteraman negara, meningkatkan kesejahteraan sosial, mempertingkatkan infrastuktur secara menyeluruh, memperkukuh penyatuan dan acuan Keluarga Malaysia dan memperkasa penyampaian perkhidmatan,” katanya sambil menasihati orang ramai yang hadir supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berikutan kes COVID-19 masih lagi menular. – Bernama