CYBERJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perjanjian kolaborasi komersial (CCA) di antara kerajaan negeri Sabah dengan syarikat petrolium negara, Petronas merupakan mercu tanda pembangunan industri minyak dan gas di negeri itu.
“Ia adalah mercu tanda dalam usaha sama pembangunan industri minyak dan gas di Sabah dan kerjasama strategik ini akan memberi kesan limpahan ekonomi yang lebih menyeluruh di negeri berkenaan.
“Perjanjian dimeterai juga membolehkan kerajaan Sabah memainkan peranan lebih besar dalam mengembangkan industri minyak dan gas melalui usaha sama erat bersama Petronas,” katanya, menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau lagi, perjanjian tersebut dijangka akan membuka lebih peluang perniagaan kepada syarikat tempatan untuk berkecimpung dalam industri khidmat minyak dan gas di Sabah.
“Pada masa sama, Petronas akan terus memainkan peranan sebagai syarikat petroleum milik negara dengan kuasa penuh mengawal selia pembangunan industri minyak dan gas secara menyeluruh, selaras dengan undang-undang negara.
“Permuafakatan dicapai itu sesungguhnya melambangkan komitmen kerajaan Persekutuan untuk bekerjasama dengan kerajaan Sabah,” katanya.