KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mencabar seorang ahli perniagaan yang mengemukakan surat tuntutan kepada kerajaan supaya membayar ganti rugi RM1.3 juta berkaitan Program Nombor Plat Khas Kenderaan Bersiri ‘Madani’.
“Kalau dia nak saman, cubalah nasib”, demikian reaksi Menteri Pengangkutan itu.
Beliau menegaskan, kuasa untuk mendaftarkan sebarang nombor pendaftaran kenderaan terletak di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kuasa itu terletak di bawah Menteri Pengangkutan.
“Jadi apa-apa kelulusan berkenaan nombor pendaftaran istimewa mestilah melalui Menteri Pengangkutan. Tak ada soal bahawa mana-mana pihak boleh hak cipta intelek terhadap apa-apa nombor pendaftaran istimewa itu.
“Lagipun kita sudah periksa dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), apa yang hak cipta itu ialah kertas kerja itu saja, bukannya nombor plat.
“Tapi saya pun tak tahu apa kertas kerja ilmiah, buat nombor pendaftaran (kenderaan) pun ada kertas kerja ilmiah ke?,” katanya pada sidang media di Putrajaya pada Khamis, lapor BH.
Selasa lalu, seorang ahli perniagaan mengemukakan surat tuntutan kepada kerajaan supaya membayar ganti rugi RM1.3 juta berhubung dakwaan penyalahgunaan dan pelanggaran harta intelek bagi Program Nombor Plat Khas Kenderaan Bersiri ‘Madani 1 sehingga Madani 9999.
Pengarah Program Ilham Madani Sdn Bhd, Hasan Azhari Hashim, mengemukakan surat tuntutan itu (LOD) melalui serahan tangan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan melalui firma guaman Raj & Sach semalam.
LOD itu menyatakan Hasan Azhari pemilik sah karya hak cipta ‘Kertas Kerja Mewujudkan Nombor Plat Khas Kenderaan Bersiri Madani 1 Sehingga Madani 9999 Untuk Didaftarkan Di Malaysia’ yang didaftarkan secara sah ke dalam Daftar Hak Cipta mengikut Seksyen 26B Akta Hak Cipta 1987.
Ia menyatakan beliau adalah pemunya dan pencipta kepada hak cipta itu di bawah No Pemberitahuan: CRYL2023J00697 daftar berkenaan.
Pada 24 Oktober lalu, media melaporkan harga keseluruhan bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri MADANI ditutup dengan kutipan sebanyak RM2.6 juta.
Mengenai tindakan JPJ memanggil semula 3,722 kenderaan Perodua Alza, Aruz dan motosikal Honda CB350RS keluaran 2024, kerana tidak mematuhi peraturan spesifikasi ditetapkan, Loke menjelaskan keputusan itu dibuat atas permintaan syarikat pengeluar kenderaan berkenaan.
“Sekarang ini kita ada prosedur operasi standard (SOP) baharu, apa-apa ‘recalled’ (panggil semula) daripada syarikat (pengeluar kenderaan), dia mesti maklumkan pada JPJ dan JPJ keluarkan arahan kerana ia membabitkan semua pemilik kenderaan yang terjejas.
“Jadi itu adalah di atas permintaan syarikat pengeluar kerana mereka mendapati ada sedikit ‘defect’ (kerosakan) yang mereka dapati selepas maklum balas daripada pelanggan mereka,” katanya.