Dasar Gaji Bermaruah Agar Rakyat Tak Terbeban Kos Sara Hidup – Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) berpandangan bahawa Dasar Gaji Progresif merupakan salah satu reformasi pasaran pekerja untuk memastikan pekerja Malaysia tidak dibebankan dengan kos sara hidup dan dapat menikmati pekerjaan dengan gaji yang bermaruah, demi kesejahteraan rakyat dan mencapai agenda mengangkat ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, MTEN telah berbincang mengenai cadangan Dasar Gaji Progresif (progressive wage policy) sebagai satu anjakan ke arah memulihkan pasaran pekerja supaya gaji pekerja dapat ditingkatkan dengan lebih konsisten dan pengagihan gaji lebih seimbang.

“Dasar gaji progresif ini adalah bersifat sukarela (voluntary), berteraskan insentif (incentive-based), dan terkait dengan produktivit(productivity-linked).

“Model dasar ini diusulkan setelah MTEN mengambil kira pandangan dan
kepentingan pihak majikan dan pekerja,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan dalam kenyataan pada Isnin.

Jelas Anwar, dasar ini merupakan pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum, akan disusuli dengan garis panduan gaji progresif tahunan bagi setiap sektor, pekerjaan, dan peringkat.

“Sesi libat urus dan tinjauan awal telah menunjukkan sebanyak 62 peratus pekerja dan 80 peratus syarikat menyambut baik cadangan Dasar Gaji Progresif dengan ciri-ciri yang dinyatakan.

“MTEN berharap dasar ini akan menerima sambutan dan penyertaan sebanyak syarikat dan pekerja yang mungkin,” ujarnya.

Perdana Menteri memaklumkan, langkah selanjutnya adalah sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak berkepentingan, terutamanya para pemain industri, perniagaan dan pekerja.

Kata Anwar lagi, perkara ini akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi memperhalusi mekanisma pelaksanaan secara berperingkat dan meneroka keperluan untuk memperuntukkan dana sebagai insentif dasar ini yang akan ditentukan berdasarkan kedudukan kewangan Kerajaan dan keperluan dasar.

Tambah beliau, Gagasan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat merupakan wadah yang menetapkan hala tuju negara dalam tempoh sederhana terutamanya untuk meletakkan negara sebagai peneraju ekonomi Asia dan di kalangan 30 ekonomi terbesar dunia.

“Pada masa yang sama, berikutan peratusan pendapatan pekerja Malaysia (wage share ratio) telah menurun daripada
37.2 peratus pada 2020 kepada 32.4 peratuspada 2022.

“Kerajaan menetapkan sasaran nisbah ini agar meningkat kepada 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan,” katanya.

Tegas beliau, isu gaji merupakan perkara pokok yang tidak boleh diabaikan lagi.

“Berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023 yang dibentangkan pada minggu lepas, lebih 2 juta pekerja Malaysia masih berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.

“Situasi ini lebih membimbangkan buat golongan muda antara umur 20-24 tahun di mana gaji penengah mereka hanyalah RM1,682 sebulan. Bagi kebanyakan pekerja Malaysia, gaji hanya akan meningkat kepada RM3,500 pada paras tertinggi sekitar umur 40-49 tahun sepanjang kerjaya mereka,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat