Dilema Pembelajaran Atas Talian Pelajar Luar Bandar Dalam Pasca COVID-19

- Advertisement -

Oleh: Niza Afendi dan Mugi Sahadevan

Kebelakangan ini penularan wabak Covid-19 telah mengubah gaya hidup masyarakat kepada sesuatu yang tidak pernah dijangkakan. Jelas dapat dilihat di mana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan secara berperingkat dan kini telah berada di dalam peringkat fasa pemulihan.

Semua individu diarahkan untuk memakai topeng muka, menjaga jarak sosial ketika di khalayak umum, senantiasa menjaga kebersihan serta mengelak daripada bersalaman dan bersentuhan.

Kesan pandemik ini telah memberi impak bukan sahaja kepada sektor ekonomi malah sektor pendidikan juga. Jelas sekali, sistem pendidikan di Malaysia berubah secara menyeluruh daripada interaksi secara bersemuka, kepada pembelajaran atas talian. Ia adalah satu konsep pembelajaran yang baharu di Malaysia tetapi ia adalah amalan biasa di negara lain seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Singapura dan lain-lain.

Namun begitu, terdapat sebilangan pelajar meluahkan kekecewaan terhadap kaedah pembelajaran norma baharu secara atas talian ini. Hal Ini disebabkan mereka dibebani dengan tugasan yang berlebihan.  Malah kebosanan akibat terlalu lama di hadapan komputer juga menjadi punca kurangnya keberkesanan pembelajaran atas talian yang menjadi medium utama dalam pasca COVID-19.

Selain itu, terdapat segolongan pelajar yang mengalami masalah untuk mendapatkan liputan internet terbaik dalam meneruskan pembelajaran mereka bersama rakan-rakan lain melalui platform atas talian. Sehingga ada yang terpaksa meredah hutan dan memanjat pokok seperti yang telah viral baru-baru ini. Kesungguhan dan kemahuan mereka menunjukkan mereka amatlah menghargai ilmu walau di mana jua mereka berada.

Jika diteliti data yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Negara 2019, terbukti sejak 2016 usaha penambahbaikan capaian internet di kawasan luar bandar di antara tahun 2014 hingga 2016 masih terhad.  Tamsilnya, pada tahun 2018, liputan capaian internet di antara bandar dan luar bandar pada nisbah 70:30, di mana jurangnya masih ketara walaupun akses internet berkelajuan tinggi telah diperkenalkan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin juga menekankan isu berkenaan keperluan masyarakat luar bandar untuk mendapatkan kemudahan komunikasi setaraf dengan masyarakat bandar. Apa yang jelas di sini, usaha untuk memperluaskan liputan capaian internet di luar bandar perlu diperkasakan lagi demi kemudahan para pelajar terutamanya yang tinggal di kawasan pendalaman.

Pernahkan terlintas di fikiran bagaimana “jurang capaian internet” mempengaruhi pelajar di luar bandar? Apakah impaknya jika keadaan ini berterusan tanpa penambahbaikan. Pembangunan seimbang luar bandar bukan hanya tertumpu di Sabah dan Sarawak sahaja tetapi juga merangkumi daerah-daerah di Semenanjung Malaysia.

Memetik kenyataan terkini Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) mencadangkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bekerjasama untuk mempertingkatkan kebolehcapaian internet khususnya di kawasan luar bandar bagi memudahkan pelajar untuk mengikuti kelas atas talian dengan lebih berkesan.

Bertitik tolak daripada kenyataan di atas, tidak menghairankan bahawa pelajar di luar bandar yang mengikuti pengajian atas talian sering mengalami perasaan disisihkan yang seterusnya dapat memberi impak untuk menamatkan pengajian dalam masa yang ditetapkan.

Selain daripada itu, kesan daripada pembelajaran secara atas talian mendorong kepada rendah keyakinan diri dan sifat pengasingan sosial pelajar disebabkan oleh kitaran yang berulang. Natijahnya, ia mempengaruhi tahap kemahiran dan kadar kejayaan di kalangan pelajar dari luar bandar yang mendapat liputan capaian internet yang terhad.

Menyedari hakikat di atas, salah satu cara yang efektif untuk mempergiatkan liputan capaian internet di luar bandar ialah usaha kerajaan untuk meluaskan jarak isyarat jalur lebar tanpa wayar di kawasan yang mempunyai isyarat yang lemah, khususnya kawasan luar bandar.

*Niza Afendi dan Mugi Sahadevan, Tutor Sekolah Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah Darul Aman

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat