Tukun tiruan konservasi di perairan Kelantan, tingkatkan hasil perikanan – DOF

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

PASIR PUTEH – Tukun tiruan konservasi yang dilaksanakan olah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) adalah pelaburan strategik jangka panjang demi menjamin sekuriti makanan negara dan kelestarian sumber laut.

Pelaksanaannya merupakan strategi utama pemuliharaan marin yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan komuniti nelayan dan ekosistem laut.

Sejak 2007, sebanyak 312 unit tukun tiruan pelbagai jenis telah dilabuhkan di perairan Kelantan meliputi daerah Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh, dengan jumlah peruntukan keseluruhan mencecah RM6.26 juta.

Antara jenis tukun yang digunakan termasuk Tukun Dasar Lembut (TDL), Tukun Dasar Lembut Penghalang Pukat Tunda (TDL-PT), Tukun Rekreasi (TR) dan Tukun Keluli.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) DOF, Dato’ Azahari Othman berkata program tukun tiruan bukan sahaja meningkatkan hasil perikanan tempatan, malah melindungi habitat marin daripada ancaman aktiviti penangkapan haram dan perubahan iklim.

Beliau berkata demikian pada Program Melabuh Tukun Tiruan (Konservasi) di Perairan Pasir Puteh/Bachok Negeri Kelantan di Kompleks LKIM Tok Bali, Pasir Puteh, dekat sini pada Ahad.

Turut hadir, Timbalan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Dato’ Shaari Mat Hussain; ADUN Semerak, Nor Sham Sulaiman; ADUN Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin; Pengarah DOF Kelantan, Hj. Ismail Ibrahim; dan Pengarah Bahagian Dasar & Perancangan Strategik DOF, Nazri Ishak.

Menurut Azahari, inisiatif ini juga selaras dengan komitmen negara terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 14: Life Below Water), khususnya dalam usaha memulihara dan menggunakan secara lestari sumber lautan dan ekosistem marin.

“Bagi tahun ini, sebanyak 12 unit TDL-PT telah dilabuhkan, dan setiap tukun seberat 15 tan metrik dengan ukuran 2.6 meter tinggi dan 2.5 meter lebar serta panjang, dibina menggunakan konkrit bertetulang mengikut spesifikasi teknikal yang mematuhi garis panduan Guidelines for the Placement of Artificial Reefsoleh United Nations Environment Programme (UNEP), ”katanya.

“Sebanyak RM1.68 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan program tukun tiruan di Kelantan pada 2025 merangkumi pelabuhan tukun di Tok Bali (RM200,000), Sungai Gali (RM200,000) dan melalui inisiatif khas Ecological Fiscal Transfer (EFT) berjumlah RM1.28 juta yang disalurkan oleh kerajaan negeri.

“Program tukun ini turut menyokong pembangunan agro-pelancongan, aktiviti penyelidikan saintifik serta menjadi pemangkin kepada ekonomi komuniti pesisir pantai, ”katanya lagi.

Ujarnya, DOF komited untuk meneruskan program konservasi ini secara sistematik dan berfasa bagi memastikan sumber perikanan negara kekal mampan serta menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan pemeliharaan biodiversiti marin negara.

Dalam pada itu, Exco Pertanian, Industri Agromakanan & Komoditi Negeri Kelantan, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata program usahasama DOF yang dikenali sebagai EFT mula diperkenalkan pada 2024 di bawah peruntukan kerajaan negeri bagi tujuan menyediakan kawasan perlindungan dan pembiakan pelbagai spesis ikan.

Katanya, kerja-kerja melabuhkan tukun tiruan ini dibuat di beberapa kawasan pesisir pantai iaitu di Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh bagi membantu pembiakan ikan dan sekaligus dapat meningkatkan hasil tangkapan nelayan tempatan. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat