KUALA LUMPUR- Parti Bersatu belum menghantar sebarang notis rasmi memaklumkan kekosongan kerusi membabitkan enam ahli Parlimennya yang digugurkan keahlian selepas memberikan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengesahkan perkara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau beranggapan apa yang sedang berlaku dalam Bersatu berhubung kedudukan enam ahli Parlimen terbabit hanya ‘bunyi bising’ selagi tidak menerima notis sebenar.
Bagaimanapun katanya, beliau perlu masa untuk meneliti semua perkara dengan cermat khususnya melibatkan undang-undang termasuk Akta Anti Lompat Parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) sebelum mengambil sebarang keputusan.
“Pertamanya, pada masa ini belum ada lagi (notis dihantar). Apa berlaku di luar itu pada saya adalah noise dan selagi saya tidak menerima secara hitam putih apa yang disebut oleh parti, apa tindakan diambil oleh parti terhadap parti mereka, saya rasa itu bukan bidang kuasa saya. Saya tidak harus masuk campur.
“Kedua, saya ambil sikap bahawa mereka mungkin ahli parti, tetapi apabila mereka mengangkat sumpah di depan saya untuk menjunjung perlembagaan dan taat setia kepada Malaysia di hadapan saya, jadi saya harus mengambil tanggungjawab untuk mempertahankan kebebasan dan hak Parlimen,” katanya seperti dilaporkan media.
Johari kini dalam rangka lawatan rasmi lima hari bersama delegasi Parlimen Malaysia ke Jepun bermula Isnin atas undangan Speaker Dewan Perwakilan Jepun, Fukushiro Nukaga.
Mengulas lanjut, beliau perlu berhati-hati dalam membuat penilaian dalam keseluruhan aspek kerana ia akan memberi kesan kepada negara.
“Saya mengambil sikap amat berhati-hati serta cermat dan selagi saya tidak yakin dengan keputusan yang saya buat itu, saya tidak akan buat dahulu.
“Saya amat berhati-hati bukan sahaja undang-undang, tetapi moral dan segalanya saya kena pastikan bahawa tindakan saya itu betul dan saya tidak mahu dipersalahkan atau rasa bersalah apabila saya tidak berada di jawatan itu nanti,” katanya.
Hari ini Utusan Malaysia melaporkan, mengikut Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan, kerusi tujuh wakil rakyat Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri sudah kosong.
Undang-undang tertinggi negara itu menjelaskan, kekosongan kerusi seseorang ahli Dewan Rakyat berlaku sekiranya dia melepaskan keanggotaan parti atau tidak lagi menjadi anggota parti politik atau memenangi pilihan raya sebagai calon Bebas, kemudian menyertai parti lain.
Dalam kes ketujuh-tujuh wakil rakyat yang menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedudukan mereka ditafsirkan sebagai gugur berikutan pemberhentian serta-merta keahlian daripada parti.
Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan ADUN Selat Klang, Abdul Rashid Asari.
[3:48 PM, 6/7/2024] Jane SuaraTV: Prosedur pembedahan Wan Rosdy berjalan lancar
KUALA LUMPUR – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selesai menjalani prosedur pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) pada Jumaat.
Setiausaha Politiknya, Mohd Farid Mohd Nor memaklumkan, Wan Rosdy kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi IJN untuk pemantauan pasukan perubatan beliau bagi tempoh 24 jam.
“Berkat doa, solat hajat , bacaan Yassin dan ucap selamat semua pihak, prosedur pembedahan Datuk Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang di Institut Jantung Negara (IJN) telah selesai dan berjalan lancar.
“Menteri Besar kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi IJN untuk pemantauan pasukan perubatan beliau bagi tempoh 24 jam.
“Pihak keluarga Menteri Besar menjunjung kasih ke sisi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Selain itu, ucapan jutaan terima kasih dan setinggi penghargaan juga kepada pasukan perubatan IJN dan semua pihak yang mendoakan kesembuhan dan keafiatan Menteri Besar.