Usaha jadikan Kedah permata pelancongan negara – BPEN Kedah

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

LANGKAWI – Komitmen berterusan Kerajaan Negeri Kedah dalam memperkukuh inisiatif pelancongan hijau terus menjadikan Langkawi antara destinasi utama dalam menyemarakkan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Pengarah Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Kedah (BPEN), Junaidi Abdul Rani @ Abdul Ghani berkata tahun ini juga adalah Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK2025) yang menawarkan kekayaan pelancongan yang luar biasa.

Antaranya keindahan alam semula jadi di Gunung Jerai dan Pulau Langkawi, keunikan sejarah di Lembah Bujang, kehijauan sawah padi di daerah Yan dan Pendang, keindahan pantai di Pantai Merdeka, sehinggalah kepada kekayaan budaya dan kulinari tempatan seperti laksa Kedah, peknga, dan kuih tradisional.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sesi Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Negeri Kedah di Parkroyal Langkawi Resort, dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dato’ Haslina Abdul Hamid, wakil-wakil agensi kerajaan, persatuan pelancongan, syarikat penerbangan, pengusaha hotel, pengendali produk pelancongan, dan ejen pelancongan tempatan.

Junaidi mewakili Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Dato’ Salleh Saidin berkata sesi libat urus ini melambangkan iltizam untuk terus memacu pembangunan industri pelancongan, khususnya di Kedah, dan Pulau Langkawi, ke tahap yang lebih cemerlang.

“Sesi ini penting dalam membina kesalinghubungan dan jaringan komunikasi yang erat di antara pemain industri pelancongan dengan pihak kerajaan .

“Selain itu, dapat menyediakan maklumat dan aspirasi masa depan sektor pelancongan negara untuk dikongsi dan difahami secara bersama,”katanya.

Katanya lagi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah berusaha menyediakan pelbagai bentuk sokongan dan bantuan untuk membantu pemain industri pelancongan.

Antaranya, Geran Galakan Melancong Malaysia (GAMELAN) untuk aktiviti promosi domestik dan antarabangsa, Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP), Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK), dan Inisiatif Charter Flight.

Selain itu, Program Peningkatan Kapasiti & Latihan untuk pengusaha produk pelancongan, Insentif pendaftaran & pensijilan produk pelancongan seperti Homestay, Communitybased Tourism, dan lain-lain.

“Ini membuktikan komitmen dan kesungguhan pihak kerajaan untuk memperkasakan industri pelancongan ini.

“Bersama-sama, kita jadikan Kedah sebagai permata pelancongan negara, dan Malaysia sebagai destinasi utama dan pilihan di mata dunia, namun kejayaan ini tidak mungkin digapai tanpa komitmen sepenuhnya daripada semua pihak.

“Kita tidak mahu sekadar pelawat melihat Kedah dan kita mahu mereka mengalami sendiri negeri ini sepenuhnya! Experience Kedah.

”Kita mahu pelawat mendaki Gunung Jerai sambil menikmati sunrise di puncak, menyelami kisah sejarah agung di tapak Lembah Bujang, mengayuh basikal di celahan sawah padi menghijau, menikmati makan malam desa di kampung tradisi,

“Selain itu, merasa tangan sendiri membuat kuih peknga dan laksa Kedah, dan berinteraksi dengan komuniti tempatan yang penuh keikhlasan dan keramahan, ”tambahnya.

“Kebersamaan antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, agensi pelancongan, dan seluruh pemain industri adalah amat penting bagi menghadapi TMM2026.

“Hanya dengan kerjasama yang erat, koordinasi yang berkesan, dan semangat sepasukan, kita mampu mempersembahkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan unggul dunia,”tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Shahrin Mokhtar berkata pemilihan tema ‘Malaysia: Destinasi Lestari dan Kaya Budaya’ bagi TMM2026 mencerminkan aspirasi negara untuk memposisikan Malaysia
sebagai destinasi eksklusif yang menyeimbangkan pembangunan pelancongan dan pemeliharaan warisan alam serta budaya.

“Pulau Langkawi merupakan destinasi pelancongan bertaraf dunia yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi, pantai yang mempesona, serta kepelbagaian flora dan fauna yang unik.

“Selain diiktiraf sebagai UNESCO Global Geopark, Langkawi juga telah lama dikenali sebagai destinasi pelancongan unggul yang menitikberatkan nilai-nilai kelestarian,”ujarnya.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat