KUALA LUMPUR – Pemuda Pas menyokong pendapat Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkait keperluan rombakan perubahan dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dan menggesa seruan itu harus dipandang serius oleh semua pimpinan dan akar umbi dalam gabungan ini.
Ketua Penerangan Pemuda Pas Nadzir Helmi berkata,jika pentadbiran PN kekal statik, tidak progresif dan tidak responsif terhadap cabaran semasa, maka kita sebenarnya sedang menempah kegagalan.
“Hari ini, rakyat sudah mula menyuarakan kebimbangan. Mereka mahu lihat PN yang bersedia memimpin, bukan sekadar bersedia bertanding. Mereka mahu lihat sebuah gabungan yang tersusun, tangkas dan mempunyai strategi komunikasi serta pengurusan politik yang lebih moden dan agresif.
“Lebih membimbangkan, kita kini berdepan dengan Perdana Menteri yang menjadikan populariti peribadi sebagai strategi utama.
“Beliau bukan sekadar memimpin, tetapi juga mencipta persepsi. Setiap tindakannya, dari menyanyi ke bersajak, dari provokasi ke gimik media, adalah sebahagian daripada strategi untuk membina imej di mata rakyat.
“Ini bukan permainan biasa. Ini adalah politik persepsi yang memerlukan respon luar biasa.
“Maka saya ulangi, pentadbiran PN mesti berubah,” tegas beliau senada dengan gesaan Tuan Ibrahim sebelum ini.
Ujar Nadzir lagi, PN perlu segar dengan pendekatan yang lebih dinamik, termasuk dalam aspek kepimpinan, penyusunan dalaman, naratif media, dan penglibatan anak muda.
“Kita tidak boleh berharap kepada strategi lama untuk berdepan dengan cabaran politik baru. Apatah lagi, ada rakan-rakan politik yang sedang memerhati.
“Mereka mahu bersama kita, tetapi mereka juga mahu melihat kesungguhan kita untuk menjadi lebih kuat, lebih bersedia dan lebih strategik.
“Jika kita gagal memberi isyarat perubahan, maka kita akan gagal meyakinkan rakyat. Dan lebih malang, kita akan gagal meyakinkan bakal rakan seperjuangan.
“Perubahan ini bukan retorik. Ia satu tuntutan masa. Jika kita tidak berubah, maka kita akan diubah oleh rakyat,” kata beliau lagi.
Dalam pada itu Nadzir memberitahu, seruan perubahan yang disuarakan Tuan Ibrahim bukan sekadar bercakap atas kapasiti seorang pemimpin kanan, tetapi sebagai suara berpengalaman yang telah menyaksikan sendiri turun naik perjuangan PN sepanjang beberapa tahun ini.
“Saya melihat kenyataan ini sebagai satu wake-up call yang tepat pada waktunya.
“PN bukan lagi dalam fasa merintis. Kita sudah melepasi tempoh 3 ke 4 tahun yang penuh warna-warni bergelar kerajaan, menjadi rakan dalam kerajaan, dan kini sebagai pembangkang.
“Setiap fasa itu datang dengan cabarannya yang tersendiri. Namun sayangnya, pentadbiran kita kekal dalam acuan lama, seolah-olah tidak belajar daripada peralihan demi peralihan ini,” katanya.
Tuan Ibrahim sebelum ini menyeru agar PN melaksanakan penambahbaikan bukannya rombakan.
Timbalan Presiden Pas mengulas mengenai laporan bahawa PN yang dijangka melaksanakan rombakan struktur pimpinannya.
Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, penambaikan dimaksudkan bertujuan memperkasakan Majlis Presiden dan memperkukuhkan pasukan media serta Jabatan Pilihan Raya gabungan berkenaan melalui satu jawatankuasa yang sudah ditubuhkan.
“Jawatankuasa ini belum lagi mengadakan mesyuarat kerana baru ditubuhkan tetapi perkara utama ialah melihat keseluruhan Perlembagaan parti,” katanya.
Tuan Ibrahim memberitahu, ahli jawatankuasa membabitkan lima pimpinan tertinggi daripada setiap parti termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung, dan Pengarah Pilihan Raya.
Jelas beliau, penambaikan itu juga tidak melibatkan sebarang masalah dengan parti gabungan tetapi perlu selepas melihat kelemahan beberapa sesi pilihan raya sebelum ini.