KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MoF) mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan mesej berkaitan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2025 yang tersebar menerusi aplikasi WhatsApp.
MoF memaklumkan pautan yang terkandung dalam mesej bertajuk ‘Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2025 RM200’ itu adalah palsu.
“Berhati-hati dan jangan mudah terperdaya dengan mesej palsu seumpama ini di media sosial.
“Ikuti saluran rasmi Kementerian Kewangan dan pastikan pautan adalah sah dan betul,” kata MoF pada Rabu.
Sejak Januari hingga Mac tahun ini, bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan dikreditkan ke dalam MyKad penerima.
Bermula 1 April lalu, kadar bantuan ditingkatkan kepada RM200 sebulan untuk pembelian makanan, minuman, ubatan, barang persekolahan dan kebersihan diri di lebih 1,600 kedai dan pasar raya berdaftar di seluruh negara.