Cyberjaya, 7 Mei 2025 – Dalam dunia yang semakin terpecah oleh ideologi dan sempadan politik, muzik terus membuktikan keupayaannya sebagai bahasa universal yang menyatukan. Latihan Pestapora Malaysia 2025 menjadi contoh nyata bagaimana elemen seni dan budaya boleh berperanan sebagai jambatan hubungan antara dua negara serumpun – Malaysia dan Indonesia.
Bakal berlangsung pada 26 Julai 2025, festival ini merupakan kerjasama sulung antara dua penganjur terkemuka – Hitman Solutions dari Malaysia dan Boss Creator, pemilik jenama asal Pestapora dari Indonesia. Ia bukan sahaja menandakan perluasan pengaruh Pestapora ke luar Jakarta, tetapi juga melakar satu detik bersejarah bagi industri muzik serantau.
Dengan lebih 24 nama besar dari kedua-dua negara diumumkan dalam Fasa Pertama ‘lineup’, acara ini menampilkan gabungan suara-suara berpengaruh dari pelbagai genre – dari alternatif, pop, hip-hop hinggalah ke indie rock. Antara nama yang mencuri perhatian ialah .Feast, Hindia, Efek Rumah Kaca bersama Barasuara, Feel Koplo, Kunto Aji dan Pamungkas dari Indonesia, manakala barisan artis Malaysia tidak kurang hebatnya dengan Bittersweet, Bunkface, DOLLA, SonaOne, Salammusik dan ramai lagi.
Namun yang menjadikan festival ini istimewa adalah semangat kebersamaan yang dibawanya. Seperti yang dinyatakan oleh Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, ramai rakyat Malaysia sanggup terbang ke Jakarta setiap tahun untuk menyertai Pestapora. Maka, edisi khas di Malaysia ini ibarat ‘preview’ atau versi pemanas badan bagi mereka yang tidak dapat ke festival utama di Indonesia, sekali gus membuka ruang kepada pengalaman muzik yang lebih inklusif dan dekat di hati.
Festival ini bukan sekadar ruang untuk hiburan – ia adalah pentas pertukaran budaya, peluang kerjasama rentas sempadan dan pengiktirafan kepada komuniti kreatif di rantau ini. Inisiatif seperti ini dilihat sebagai bentuk soft power yang memperkukuh hubungan dua hala menerusi pendekatan yang lebih mesra rakyat.
Pengarah Festival Pestapora merangkap pengasas bersama Boss Creator, Kiki Ucup, berkata mereka melihat potensi besar di Malaysia sebagai pasaran dan rakan budaya. Harapannya, Latihan Pestapora menjadi fasilitator kepada penggiat seni kedua-dua negara untuk memperkenalkan dan mengangkat karya masing-masing kepada khalayak yang lebih luas.
Dengan pendekatan ini, festival bukan sahaja menghibur, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekosistem seni dan budaya Nusantara. Ia juga membuka peluang kepada kolaborasi rentas artis dan genre yang mungkin sebelum ini terbatas kepada komuniti tempatan masing-masing.
Festival ini mendapat sokongan penuh daripada pelbagai jenama utama seperti ERA FM, HITZ FM, SINAR FM, Batik Air, BookCabin, dan Sunway Putra Hotel. Ia menunjukkan pengiktirafan terhadap potensi muzik sebagai pemacu ekonomi kreatif, pelancongan budaya dan pengaruh sosial yang besar.
Harga tiket yang ditawarkan juga bersifat inklusif: RM129 ke atas untuk General Admission, RM199 ke atas untuk Rockzone, RM70 untuk Kanak-Kanak, serta tambahan RM100 untuk akses Express Lane. Pembelian boleh dilakukan melalui laman rasmi www.latihanpestaporamalaysia.com.
Latihan Pestapora Malaysia 2025 bukan hanya tentang siapa yang akan beraksi di atas pentas, tetapi tentang apa yang cuba disampaikan melalui irama, lirik, dan semangat yang dibawanya. Ia adalah festival yang merayakan semangat Nusantara – di mana muzik menjadi jambatan peradaban, alat penyatuan dan simbol keterbukaan budaya.
Dalam dunia yang sering menyaksikan sempadan memisahkan, inisiatif seperti ini menjadi bukti bahawa muzik mampu menyatukan.