KUALA LUMPUR – Nurul Izzah Anwar dinilai sebagai “penyelamat” PKR berbanding mendapat seorang timbalan presiden yang “tidak sesuai” dan memenuhi aspirasi rakyat Malaysia yang inginkan pemimpin matang.
Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang Hassan Karim juga tampil menyertai suara sokongan pelbagai pihak yang mengalu-alukan Nurul Izzah bertanding jawatan dalam pemilihan PKR tidak lama lagi.
Hassan berkata, meskipun beliau menentang amalan kronisme, sama ada dalam kerajaan mahupun parti.
Pun begitu, kata Hassan dalam konteks Nurul Izzah, beliau rela berada di barisan hadapan untuk mempertahankan anak perdana menteri berkenaan.
Katanya, Nurul Izzah tidak boleh dinafikan haknya untuk bertanding merebut jawatan timbalan presiden hanya kerana dia anak Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjadi Perdana Menteri merangkap Presiden PKR.
“Nurul Izzah mempunyai kebolehan, dan jika dia bertanding Timbalan Presiden PKR, beliau Insya-Allah boleh menang atas meritnya.
“Anwar pula seharusnya berkecuali dan memerhati sahaja jika puterinya itu masuk gelanggang dan bersaing secara demokratis.
“Nurul Izzah adalah faktor yang boleh menyelamatkan PKR daripada mendapat pilihan yang tidak sesuai untuk jawatan sepenting timbalan presiden parti,” katanya dalam kenyataan.
Kata Hassan, pemilihan PKR kali ini adalah satu “revolusi demokrasi melalui peti undi secara digital tercanggih.”
Selain Nurul Izzah, seorang lagi tokoh kanan PKR yang disebut-sebut mungkin mencabar Datuk Seri Rafizi ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga merupakan bekas setiausaha agung parti.
Bagaimanapun setakat ini Saifuddin belum menyatakan keputusannya sama ada menyertai persaingan itu atau sebaliknya.
Menjelaskan sokongannya kepada Nurul Izzah hari ini, Hassan berkata wajar untuk Nurul Izzah bertanding sama ada secara satu lawan satu dengan Rafizi atau persaingan tiga penjuru.
“Jika ada pertandingan sebaiknya ia sengit (supaya) tidak ada sesiapa yang berkata Nurul Izzah menang atas dasar kronisme,” katanya.
Katanya anggota PKR yang bersama dengan perjuangan parti sejak lebih 25 tahun lalu memang mengenali kekuatan dan kelemahan serta sahsiah Nurul Izzah yang memang layak diberi peluang untuk tumbuh sebagai pemimpin.
Kekalahan Nurul Izzah dalam PRU ke-15 lalu, tambah bekas Pengerusi PKR Johor itu lagi, membawa hikmah agar dia menghadpai ujian ketahanan, kesabaran dan bermuasabah untuk bangkit semula sebagai pemimpin parti.
“Rakyat Malaysia mahukan pemimpin muda yang matang dan mendewasa di dalam perjuangan.
“Sebagai seorang yang berpelajaran tinggi di universiti dalam bidang kejuteraan elektrik dan 15 tahun sebagai ahli parlimen Malaysia, dua penggal jadi ahli parlimen Lembah Pantai dan satu penggal lalu di Permatang Pauh, maka Nurul Izzah telah membina pengalaman sebagai penggubal undang-undang dan pembina polisi negara,” katanya.
Dakwa Hassan, rakyat Malaysia juga menaruh harapan untuk mendapat seorang perdana menteri wanita untuk kali pertama.
“PKR akan terhindar daripada pecah dan huru-hara jika Nurul Izzah bersedia menjadi calon timbalan presiden.
“Penyokong Rafizi dan penyokong setia Anwar amat menghormati Nurul Izzah dan senang dengan dia,” katanya.
Nama Nurul Izzah mula disebut-sebut sebagai calon yang wajar diangkat bertanding bagi jawatan timbalan presiden sejak pagi tadi dan dengan pantas mendapat sokongan banyak pihak.
Antaranya ialah bekas Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid, selain Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.
Ketika ini jawatan timbalan presiden disandang Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Baru-baru ini Hassan secara terbuka menunjukkan rasa puas hati apabila sejumlah pemimpin PKR yang dikaitkan dengan Rafizi gagal memenangi pemilihan di peringkat cabang.
Antaranya Naib Presiden PKR yang sebelum ini mengetuai Cabang Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang tewas kepada pelakon, pengarah dan pelawak, Afdlin Shauki.
Seorang lagi tokoh yang dilihat dekat dengan Rafizi dan kalah ialah Ahli Parlimen Johor Bahru merangkap Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasir.