KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad mempersoalkan tindakan suruhanjaya itu dalam mengendalikan siasatan terhadap Pamela Ling, yang menurutnya menimbulkan persoalan serius dari segi tatacara dan kesahan undang-undang.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh peguam kepada Pamela, wanita itu bukan sahaja pernah ditangkap dan direman oleh SPRM, malah turut dipanggil semula untuk memberi keterangan sebanyak sembilan kali selepas dibebaskan.
“Sekiranya seseorang telah ditahan, direman dan kenyataannya telah direkodkan semasa tempoh reman, undang-undang tidak membenarkan keterangannya diambil lagi dalam kapasiti yang sama – kecuali individu itu diklasifikasikan semula sebagai saksi, dan itu pun dengan kelulusan Pendakwa Raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa kuasa penahanan hanya wajar digunakan apabila wujud bukti mencukupi untuk mendakwa, dan sebarang tindakan penahanan secara pramatang semasa siasatan masih berlangsung boleh dianggap sebagai bertentangan dengan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.
Dzulkifli turut membandingkan kes tersebut dengan siasatan terhadap Datuk Seri Ismail Sabri dan Vivy Yusof, di mana kedua-duanya tidak ditahan walaupun merupakan suspek.
Kata beliau, siasatan dijalankan dengan mengambil keterangan tanpa perlu penahanan, dan mereka hanya dibawa ke mahkamah apabila pertuduhan difailkan.
“Ini menunjukkan pendekatan yang lebih teratur dan sah dari sudut undang-undang. Pendekatan sama seharusnya digunapakai secara konsisten,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, jika benar fakta-fakta yang didedahkan oleh pihak pembelaan Pamela, ia menimbulkan persoalan besar terhadap integriti prosedur siasatan SPRM.
Dzulkifli kini merupakan Presiden Amlac Academy. -Suara.TV