KUALA LUMPUR- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya tidak memberi ruang kepada kelompok ‘bebal’ yang suka memainkan dan memanipulasi isu sensasi di media sosial untuk kepentingan sendiri.
Kata Anwar, kelompok ini tidak mengambil berat soal kepentingan umum apatah lagi mahu mengangkat kedudukan negaranya, apabila lebih gemar mengambil sikap menghukum pihak lain.
“Kadang-kadang terlalu diheret mengenai (isu di) media sosial kerana mereka suka (konten) sensasi. Hal yang kecil boleh ditangani, tetapi dijadikan isu besar, seolah-olah perang boleh berlaku. Soal kuil, perang…soal (peniaga) belon, perang, sedangkan kita boleh atasi dengan baik.
“Sebab itu saya syorkan jangan berikan ruang, sebab sesetengah orang ini bebal dan tidak terfikir soal kepentingan umum. Semuanya mahu dipolitikkan dengan cara menghukum,” katanya berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Seri Endon Puspanitapuri di Putrajaya pada Isnin.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadilah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mengulas lanjut, beliau mengingatkan semua pihak perlu mengelak daripada mengeluarkan sebarang ucapan dan kenyataan menghina khususnya terhadap kaum lain.
“Tak setuju dengan kita, semuanya (dianggap) munafik, jahat belaka, tak boleh begitu. Negara ini memang betul asasnya, tonggaknya Melayu. Bukan saja tonggak, tetapi dijamin Perlembagaan.
“Kedudukan kerajaan dan Majlis Raja-Raja, tidak boleh dimungkiri kenyataan ini, tetapi tidak bermakna kita harus sentiasa, (contohnya) kalau ada kenyataan golongan minoriti kaum lain, mesti terus menghina, tidak boleh, ia tidak pernah menjadi asas dalam ajaran agama kita,” lapor BH di Putrajaya.
Sementara itu, Anwar juga mahu penjawat awam berperanan penting menangkis naratif seumpama ini dan memberi penerangan berterusan kepada rakyat berkenaan agenda serta dasar yang berupaya memacu pertumbuhan negara.
“Bagaimana kita urus bidang masing-masing untuk mencari jalan supaya ‘reform’ yang kita anjurkan itu dilaksana dengan baik, jangan pandang ringan dan remeh. Masih ada kecuaian, ketirisan, masih ada laporan rasuah dan penyelewengan kuasa. Pimpinan di jabatan dan kementerian, waspadalah.
“Hasrat kita ini menyelamatkan bangsa dan memastikan negara terangkat (darjatnya). Di antara isu terkait adalah masalah kita bicara soal ini, bagaimana sebagai negara bina satu kesatuan, fokus semangat Madani dengan kekuatan akidah, akhlak dan nilai serta kebijakan fiskal dan ekonomi umumnya.
“Tetapi perbincangan ini nampak tidak begitu menarik, sedangkan ia faktor yang boleh menyelamatkan kita. AI (kecerdasan buatan), transformasi digital itu untuk menentukan anak kita lebih cekap, selamat dan maju, hal ini harus kita renungkan,” katanya.