Kenyataan Amelia fitnah dan aibkan A Aida Production

- Advertisement -

Kuala Lumpur : Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan menyifatkan kenyataan pelakon Amelia Henderson menerusi Instagram memfitnah dan mengaibkan syarikat produksi, A Aida Production Sdn Bhd.

Beliau berkata, ia susulan kenyataan Amelia atau nama penuhnya, Amelia Thripura Henderson, 28, sebagai defendan memberi gambaran seolah-olah syarikat itu selaku plaintif adalah tidak profesional.

“(Kononnya) lain yang ditawarkan kepada defendan lain pula yang diarahkan untuk dilakonkan (dalam drama, Sekali Lagi Cinta Kembali).

“Defendan sudah dimaklumkan mengenai watak dan drama akan dilakonkan, selain mengaku dalam penyata saksinya bahawa menerima sinopsis melalui pengurus yang juga saksi defendan pertama. Dia (Amelia) menerima (sinopsis drama) pada 17 Januari 2022.

“Pengarah drama iaitu saksi plaintif pertama, Muhammad Riza Baharudin, menyatakan dalam keterangannya bahawa latar belakang cerita dan karakter diberikan kepada defendan sebelum perjanjian ditandatangani lagi,” katanya.

Terdahulu, mahkamah mengarahkan Amelia membayar RM213,000 kerana melanggar kontrak syarikat terbabit, selain perlu memohon maaf dan memadam video di Instagram mengandungi kenyataan fitnah.

Zulqarnain berkata, Amelia bersetuju untuk memegang watak Aira dalam drama berkenaan mengikut keterangan pengurus defendan, Siti Norsyuhada Abdul Kadir.

“Tiada alasan untuk mahkamah menolak keterangan saksi defendan pertama itu kerana adalah saksi yang dikemukakan oleh defendan sendiri.

“Dokumen fakta kes yang dipersetujui antara plaintif dan defendan yang dikemukakan ke mahkamah juga menunjukkan tawaran kepada defendan ialah watak Aira,” katanya.

Sepanjang perbicaraan bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plaintif termasuk Datuk A Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, 53 dan tiga saksi defendan termasuk Amelia memberi keterangan.

Ketika perbicaraan, pengurus produksi A Aida Production, Fazeyla Ahmad, 42, memberitahu mahkamah syarikat itu terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dibuat Amelia.

Namun, Amelia tetap dengan pendirian menafikan melanggar kontrak ketika menerima tawaran untuk membintangi drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

Amelia dan pelakon, Idris Khan, berdepan tindakan saman daripada A Aida selepas didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani.

A Aida bersama pengarah drama Sekali Lagi Cinta Kembali dilaporkan sepakat membawa perkara itu ke muka pengadilan.

Bagaimanapun, saman antara A Aida dan Idris berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah, manakala Amelia memilih untuk dibicarakan.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat