RIYADH, – Duta Iran ke Arab Saudi, Alireza Enayati menyatakan penghargaan Tehran terhadap pendirian Riyadh yang berikrar tidak akan membenarkan ruang udara, perairan atau wilayahnya digunakan untuk melancarkan serangan terhadap Republik Islam Iran dalam konflik yang sedang berlaku dengan Amerika Syarikat dan Israel.
Dalam kenyataannya kepada AFP, Enayati berkata Iran menghargai jaminan yang berulang kali diberikan oleh kerajaan Arab Saudi bahawa negara itu tidak akan membenarkan wilayahnya dijadikan pangkalan serangan terhadap Iran.
“Kami menghargai apa yang telah berulang kali kami dengar daripada Arab Saudi bahawa mereka tidak membenarkan ruang udara, perairan atau wilayahnya digunakan terhadap Republik Islam Iran,” katanya.
Sebelum tercetusnya konflik terbuka di Timur Tengah, Riyadh dilaporkan menyokong usaha diplomatik bagi meredakan ketegangan antara Tehran dan Washington serta memberi jaminan bahawa ruang udaranya tidak akan digunakan untuk sebarang operasi ketenteraan terhadap Iran.
Dalam perkembangan sama, Enayati turut menafikan dakwaan bahawa Iran telah menyerang Kedutaan Amerika Syarikat di Riyadh menggunakan dron, selepas pihak berkuasa Arab Saudi mendakwa kompleks tersebut menjadi sasaran serangan minggu ini.
Menurut beliau, Iran tidak mempunyai sebarang peranan dalam serangan yang menyebabkan kebakaran di kawasan kedutaan tersebut.
“Kami mengesahkan bahawa Iran tidak mempunyai sebarang peranan dalam serangan ke atas Kedutaan Amerika Syarikat di Riyadh,” katanya.
Beliau menambah bahawa sekiranya operasi ketenteraan dilancarkan oleh pihak berkuasa di Tehran, Iran lazimnya akan mengakui tanggungjawab tersebut secara terbuka.
Arab Saudi sebelum ini beberapa kali menuduh Tehran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas wilayahnya serta memberi amaran bahawa kerajaan itu berhak mempertahankan diri termasuk mengambil tindakan balas.
Iran juga sebelum ini menafikan penglibatan dalam serangan dron yang didakwa menyasarkan loji penapisan minyak Ras Tanura, salah satu kemudahan pemprosesan minyak terbesar di Timur Tengah.
Konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah tercetus selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel yang mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, sebelum Tehran melancarkan serangan balas ke atas Israel serta beberapa sasaran lain di rantau tersebut.
Menurut laporan, sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh di rantau Teluk sejak Iran memulakan serangan balas pada Sabtu lalu, termasuk tujuh orang awam.
Namun Enayati menegaskan Iran tidak sedang melancarkan perang serantau.
“Ini bukan perang serantau dan ia bukan perang kami. Ia adalah konflik yang dipaksakan ke atas rantau ini,” katanya.



