KUALA LUMPUR – 100 hari Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi markah B- oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Manakala bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan memberi gred lebih baik iaitu A-.
Dalam rancangan podcast Keluar Sekejap, Khairy menyatakan markah B- yang dinilainya terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan adalah sangat tinggi dengan adanya Timbalan Perdana Menteri seperti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya berharap menteri-menteri Umno dalam Kabinet lebih menyerlah. Saya rasa markah B- adalah gred yang bagus kerana polisi jangka panjang kerajaan ini masih samar.
“Begitu juga dengan prestasi Kabinet yang tidak berapa menyerlah dan tidak konsisten dalam membantu Perdana Menteri untuk menggariskan hala tuju lebih jelas.
“Pada saya gred B- sangat tinggi dengan Timbalan Perdana Menteri macam Zahid Hamidi,” katanya.
Sementara itu, Shahril tetap konsisten memberikan markah A- kepada Kerajaan Perpaduan kerana berpuas hati dengan hala tuju ekonomi dan kebajikan yang diperkenalkan kerajaan.
Cuma katanya ia disebutkan jenis-jenis pelaburan yang akan dibawa masuk tetapi secara isyarat awal beliau memang berpuas hati.