KUALA LUMPUR – Individu terjejas akibat banjir susulan hujan berpanjangan baru-baru ini boleh memohon bantuan bayaran balik bersasar dan penggantian kad pengeluaran wang automatik (ATM) secara percuma.
Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (Aibim) dalam kenyataan hari ini berkata, pelanggan yang terjejas boleh berhubung dengan pihak bank terbabit untuk membuat permohonan bantuan berkenaan.
“Prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi akibat situasi banjir yang melanda beberapa buah negeri, institusi perbankan Islam yang juga Aibim terus proaktif menawarkan pelbagai sokongan dan bantuan khas.
“Antara bantuan khas banjir yang disediakan termasuk bantuan bayaran balik bersasar dan penggantian kad secara percuma,” katanya.
Kenyataan itu memberitahu, maklumat lanjut berhubung kemudahan itu boleh didapati menerusi laman sesawang dan akaun media sosial institusi perbankan terlibat.
Pada masa sama, Aibim mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika berurusan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan individu tidak bertanggungjawab.
“Hubungi pihak bank masing-masing untuk berunding dengan pegawai bank yang sahih berhubung isu perbankan mereka yang mungkin terkesan akibat banjir ini,” katanya.
“Ini amat penting untuk mengelakkan pelanggan daripada terpedaya dengan penipuan kewangan dari pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu katanya, orang ramai digalakkan berurusan secara dalam talian bagaimanapun, urusan secara fizikal di kaunter dan mesin layan diri masih beroperasi di cawangan yang tidak terjejas.
“Akses perkhidmatan perbankan asas akan terus disediakan seperti urusan di kaunter dan mesin layan diri.Cawangan bank yang terjejas akibat banjir akan dikemaskini dari masa ke semasa.
“Pihak pelanggan juga boleh menghubungi pihak sekretariat Aibim di email [email protected] untuk maklumat lanjut,” katanya. – HMetro