Negeri Sembilan Tundukkan JDT II

- Advertisement -

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC memperoleh tiga mata pertama dengan kejayaan menewaskan Johor Darul Ta’zim II FC (JDT II), 2-1 dalam saingan Liga Perdana, sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, tuan rumah memperoleh jaringan menerusi dua penalti pada setiap babak yang disempurnakan kapten pasukan, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak dan Thierry Akono

Gol berpunca daripada gerakan solo dilakukan Beom Geum Bae dalam usaha memburu gol sebelum dia dijatuhkan dalam kotak penalti oleh penjaga gol pelawat, T Shaheeswaran pada minit ke-22.

Bekas penyerang Kedah, Zaquan yang diberikan tanggungjawab itu bijak memperdayakan Shaheeswaran untuk gol pembukaan.

Pelawat tampil dengan membawa semangat kejayaan pasukan abang, JDT yang menjulang kejuaraan Piala Sumbangsih semalam, begitupun dilihat tidak berputus asa dengan memberikan tentangan sengit mengasak ke kubu Negeri Sembilan.

Usaha mereka itu akhirnya membuahkan hasil apabila pemain tengah, Mohamad Rafiefikri Mohd Rosman menjaringkan gol penyamaan JDT II menerusi sepakan lambung cantik dari jarak kira-kira 25 meter dengan bola menerjah jaring di penjuru sebelah kiri pintu gol Negeri Sembilan sekali gus menewaskan Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman, pada minit ke-45, sebelum tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan dihadiahkan sepakan penalti kedua selepas Rafael Gomes dijatuhkan pertahanan pelawat dalam kotak penalti pada minit ke-50.

Akono yang diberi tugas mengambil sepakan itu mudah menjaringkan gol kedua tuan rumah pada minit ke-51.

Negeri Sembilan hampir menambah satu lagi gol pada minit ke-61, apabila percubaan pemain gantian, A Selvan, dari bahagian tepi diselamatkan pertahanan pelawat walaupun Shaheeswaran sudah tertewas.

Pada minit-minit terakhir permainan, JDT II dilihat menggandakan asakan ke kubu Negeri Sembilan, dalam usaha mereka untuk mendapatkan gol penyamaan dan membawa balik sekurang-kurangnya satu mata, namun hasrat itu tidak kesampaian apabila keputusan 2-1 itu kekal sehingga ke wisel penamat.

– Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,592FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat